Empat Cara Untuk Menaikkan Jualan Dalam Industri Kewangan
Jika anda bekerja sebagai seorang perancang kewangan, pasti anda sering memikirkan cara untuk mendapat jualan yang tinggi.
Jualan yang tinggi adalah tanda-tanda awal anda boleh bekerja lama dalam industri kewangan ini.
Namun, sering menjadi persoalan bagaimana untuk mengekalkan jualan dalam industri kewangan untuk jangka masa panjang dan berterusan.
Kami kongsikan empat (4) cara untuk anda menaikkan jualan produk atau servis dalam industri kewangan.
#1 Keperluan Pelanggan
Sebelum anda memasarkan satu servis atau produk, perkara pertama anda perlu tahu adalah keperluan pelanggan itu sendiri. Setiap pelanggan mempunyai keperluan yang berbeza dalam pengurusan kewangan mereka.
Penting bagi anda sebagai seorang perancang kewangan untuk mengetahui dahulu keperluan pelanggan anda. Kemudian, barulah anda beri cadangan dengan servis atau produk yang sesuai. Pelanggan akan rasa lebih senang untuk membuat keputusan jika mereka sendiri faham tentang kepentingan produk atau servis tersebut.
Jika anda menawarkan sesuatu yang bukan menjadi keperluan pelanggan, peluang untuk anda mendapatkan jualan adalah sangat rendah.
#2 Masalah Pelanggan
Selain itu, anda juga boleh fokus untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelanggan.
Semakin banyak masalah pelanggan yang anda cuba selesaikan, semakin mudah untuk anda menawarkan produk atau servis yang berkaitan. Jika pelanggan sendiri merasakan yang mereka tidak mempunyai masalah terutama dalam pengurusan kewangan, sukar bagi mereka untuk menerima servis atau produk anda.
Oleh itu, anda perlu jadi lebih mahir dalam mengenalpasti masalah pelanggan. Selain itu, anda juga perlu berterus terang dan bertindak professional dengan pelanggan mengenai produk dan servis kewangan walaupun tidak memihak kepada anda.
Contohnya, jika anda menjual pelaburan seperti unit trust atau ASB financing, anda perlu memberitahu pelanggan bahawa pelan perlindungan perlu diutamakan. Pelaburan Unit Trust dan Takaful: Mana yang lebih penting?
#3 Jaga Hubungan
Jika prospek anda berjaya menjadi pelanggan anda, semestinya anda perlu menjaganya dengan baik. Ini bagi memastikan pelanggan berpuas hati dengan servis dari anda.
Tetapi, jika anda mempunyai prospek yang tidak berminat dengan produk atau servis yang anda tawarkan, anda juga bertanggungjawab untuk menjaga hubungan dengan baik. Walaupun mereka bukan pelanggan anda.
Kebanyakan pelanggan juga akan mengambil produk atau servis yang ditawarkan selepas 6 bulan hingga 1 tahun kemudian. Jika anda melayan mereka dengan baik, mereka akan mencari anda semula.
Selain itu, hubungan yang baik dengan pelanggan juga akan menarik minat pelanggan untuk mewar-warkan servis anda kepada orang lain.
#4 Pertingkatkan Ilmu
Akhir sekali, anda juga perlu sentiasa tambah ilmu supaya boleh bersaing dengan orang lain. Individu yang mempunyai ilmu yang pelbagai juga lebih mudah untuk meningkatkan jualan dalam industri kewangan.
Dalam bidang jualan, anda perlu tingkatkan beberapa jenis skil yang penting seperti skil komunikasi, skil jualan, skil negosiasi dan lain-lain.