SIMPANAN 101 - 5 Strategi Simpanan Paling Berkesan Tanpa Perlu Ikat Perut

Statistik yang menunjukkan ramai rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan untuk kecemasan dan persaraan adalah sesuatu yang membimbangkan. Rata-rata individu yang tidak mempunyai simpanan yang mencukupi akan mempunyai masalah kewangan yang lebih besar pada masa hadapan.

Sebagai simpanan kecemasan, anda seharusnya memiliki tiga bulan simpanan dari jumlah gaji anda. Seperti sedia maklum, melakukan simpanan bukanlah sesuatu yang mudah sehingga ramai yang tidak mempu melakukannya.

Namun, perkara tersebut juga bukanlah sesuatu yang sukar jika anda tahu cara dan strategi yang betul untuk melakukan simpanan. Kami ingin kongsikan 5 strategi simpanan yang berkesan untuk anda lakukan.

#1 Simpanan Paksa

Pertama sekali, anda mungkin perlu dipaksa untuk melakukan simpanan jika paksaan tersebut adalah baik untuk anda. Simpanan paksa yang kami maksudkan adalah seperti melakukan pembiayaan ASB, potongan simpanan dari gaji atau orang lain urus simpanan.

Melalui pembiayaan ASB, cara ini lebih mudah dan membuatkan anda melakukan simpanan setiap bulan. Anda hanya perlu memohon jumlah pembiayaan yang sesuai dengan kadar simpanan bulanan anda.

Manakala potongan dari gaji pula adalah anda boleh melakukan terus dari gaji anda ke dalam akaun simpanan seperti Tabung Haji. Jika masih sukar, anda boleh meminta pasangan anda untuk menguruskan simpanan anda terutama ketika hari gaji anda terima.

#2 Simpanan Berjadual

Strategi simpanan berjadual adalah sesuai untuk individu yang mempunyai disiplin yang tinggi. Terdapat banyak cara anda boleh lakukan seperti simpanan mengikut warna duit, simpanan mengikut tarikh kalendar dan lain-lain lagi.

Simpanan mengikut warna duit sangat popular dan lebih menarik. Anda hanya perlu pilih warna duit yang anda ingin simpan seperti warna hijau (RM5), warna biru (RM1), warna merah (RM10) dan warna oren (RM20). Setiap kali anda mempunyai duit kertas tersebut, anda tidak boleh gunakan untuk berbelanja tetapi hanya untuk simpanan sahaja.

Manakala simpanan mengikut tarikh kalendar pula adalah jumlah simpanan anda sama seperti tarikh pada hari tersebut. Contohnya, jika hari ini adalah 10 hari bulan November, anda perlu menyimpan sebanyak RM10 dan jika hari ini adalah 30 hari bulan November, anda perlu menyimpan sebanyak RM30.

Cara dan strategi simpanan yang menarik akan membuatkan anda lebih suka untuk melakukan simpanan.

#3 Tabung Kereta

Mungkin ramai yang terlepas pandang bahawa kita sering kali meletakkan duit di dalam kereta. Oleh itu, sebaiknya jika anda meletakkan tabung khas di dalam kereta terutama untuk duit syiling. Cara ini sebenarnya tidak memberi kesan dan tekanan kepada anda.

Setiap kali masuk ke dalam kereta, anda hanya perlu meletakkan duit ke dalam tabung tersebut sebagai 'yuran' menaiki kereta tersebut.

#4 Tabung Pejabat

Selain itu, tempat yang sesuai untuk anda meletakkan tabung adalah pejabat terutama individu yang berada di pejabat dari pagi hingga ke petang. Setiap kali pulang dari makan tengahari pasti akan ada lebihan wang yang anda boleh letakkan ke dalam tabung ini.

Selain itu, anda juga boleh meletakkan duit sama ada setiap kali tiba di pejabat atau setiap kali sebelum pulang ke rumah. Keadah ini jika dilakukan secara tetap setiap hari akan memberi jumlah simpanan yang banyak tanpa anda sedar.

#5 Main Kutu

Akhir sekali, anda juga boleh bermain kutu dengan rakan anda di pejabat. Cara ini telah dilakukan oleh ramai individu sejak dahulu lagi dan sangat berkesan.

Anda hanya perlu mencari rakan-rakan yang ingin sama-sama membuat simpanan dengan jumlah yang sama. Namun, anda perlu berhati-hati dalam mencari rakan bermain kutu kerana risiko berlaku penipuan adalah tinggi.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan boleh hubungi kami di admin@nasihatkewangan.com atau pergi ke Facebook rasmi kami Nasihat Kewangan.

Comments

ANDA KONSULTAN KEWANGAN? (ASB, TAKAFUL, UNIT TRUST, DLL)