Cara iklan seperti ini buatkan ramai benci takaful


Ramai yang sudah mendapat kesedaran terhadap kepentingan mengambil perlindungan diri atau takaful. Industri takaful telah berkembang dengan baik sejak 4 tahun kebelakangan ini.

Namun, masih terdapat individu yang tidak mengambil takaful atas beberapa faktor seperti kurang berkemampuan, tidak mempunyai kesedaran awal dan lain-lain lagi. Selain, faktor periklanan yang dilakukan oleh ejen takaful memainkan peranan yang penting dalam memberi kesedaran kepada orang ramai.

Berikut adalah beberapa contoh periklanan yang tidak disukai oleh orang ramai.

Memburukkan syarikat lain

Sebagai seorang ejen takaful yang berdaftar, anda tidak dibenarkan untuk menceritakan kepada bakal pelanggan anda berkenaan keburukan syarikat takaful lain. Selain itu, bakal pelanggan yang bijak juga tidak menyukai cara periklanan seperti ini kerana tidak profesional.

Walaupun syarikat atau produk takaful anda mempunyai kelebihan yang baik, ejen takaful tidak seharusnya menceritakan keburukan syarikat lain semata-mata untuk mendapatkan pelanggan tersebut.

Menjanjikan sesuatu yang tidak pasti

Setiap produk takaful mempunyai kelebihan dan kekurangan mereka tersendiri. Sebagai ejen takaful, anda perlu menceritakan manfaat serta kelebihan yang terdapat dalam produk tersebut sahaja. Terdapat beberapa ejen takaful yang membuat iklan untuk mengelirukan pelanggan dengan manfaat yang berlebihan.

Baca : Kerja makan gaji susah nak kaya?Ini caranya

Hari ini, pelanggan sudah menjadi lebih bijak terhadap fungsi sebenar takaful dan ejen takaful semakin sukar untuk mengelirukan mereka. Cara iklan yang berlebihan seperti ini juga menyebabkan bakal pelanggan menjadi semakin benci terhadap takaful itu sendiri.

Memburukkan bekas pelanggan

Cerita yang baik boleh dikongsikan kepada orang ramai untuk dijadikan sebagai contoh. Namun, cerita yang tidak baik adalah menjadi rahsia antara ejen takaful dan pelanggan mereka sahaja.

Contoh yang sering di lihat kini adalah apabila ejen takaful berkongsi cerita pelanggan mereka yang rasa menyesal kerana tidak ambil takaful semasa sihat. Selain itu, walaupun bakal pelanggan tidak mempunyai ilmu tentang takaful, ejen takaful tidak seharusnya memburukkan mereka.

Tugas sebagai seorang ejen takaful adalah memberi kesedaran kepada orang ramai dengan cara yang profesional. Apabila ejen takaful sendiri bertindak tidak profesional, ini menyebabkan pelanggan lari dari mereka.

Setiap pelanggan mempunyai alasan mereka sendiri untuk tidak mengambil takaful pada hari ini. Salah satu sebabnya adalah tidak mempunyai tahap kewangan yang kukuh. Sebagai seorang ejen takaful, anda juga perlu memberi nasihat berkenaan kewangan selain dari takaful.

Comments

ANDA KONSULTAN KEWANGAN? (ASB, TAKAFUL, UNIT TRUST, DLL)