Contoh Pengurusan Kewangan Untuk Gaji Rendah RM1,000 ke Bawah.



Apabila kami mengeluarkan artikel bertajuk 'Contoh pengurusan kewangan untuk gaji RM3,000 sebulan', segelintir yang bergaji rendah iaitu bawah RM1,000 mahukan juga contoh pengurusan kewangan yang baik.

Dalam pengurusan kewangan yang baik, terdapat dua faktor utama yang perlu dilihat iaitu pendapatan dan perbelanjaan. Secara amnya, semakin tinggi pendapatan, semakin baik tahap kewangan seseorang dan semakin tinggi perbelanjaan, semakin kurang baik tahap kewangan seseorang.

Namun, masalah yang dihadapi bagi golongan yang bergaji RM1,000 adalah kadar kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi terutamanya di Lembah Klang atau bandar-bandar utama di seluruh Malaysia.

UBAH MINDA DAN MATLAMAT

Mungkin ada yang menyatakan bahawa ia adalah takdir apabila pendapatan yang diterima adalah sekadar RM1,000 sahaja. Jika anda percaya kepada takdir, anda juga harus percaya bahawa setiap usaha pasti mendapat hasilnya.

Sudah terbukti sekarang bahawa sesiapa sahaja boleh mengubah hidup mereka kepada yang lebih baik. Oleh itu, perkara pertama yang perlu ada dalam pengurusan kewangan adalah minda dan matlamat yang betul.

Hakikat yang perlu diterima adalah seseorang yang bergaji rendah tidak boleh meniru gaya hidup orang yang bergaji lebih tinggi. Matlamat yang jelas mahu mengubah hidup kepada yang lebih baik akan membantu untuk mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi.

Berkawanlah dengan orang yang sentiasa positif dan mahu berubah kepada yang lebih baik.

Juga, kurangkan memberi alasan dalam setiap perkara yang dilakukan kerana ia hanya melambatkan tindakan anda.

TAMBAH PENDAPATAN

Apabila minda anda sentiasa fikir perkara yang positif, tindakan untuk menambah pendapatan lebih mudah kerana anda percaya bahawa rezeki itu akan datang jika ada usaha.

Mulakan langkah awal dengan melakukan pekerjaan sambilan pada hujung minggu atau selepas waktu kerja. Penat? YA, itulah harga yang perlu anda bayar untuk mengubah hidup anda. Jika anda sudah berazam untuk mahu mengubah hidup, penat bukanlah satu alasan yang perlu anda berikan.

Anda juga boleh mulakan perniagaan online tanpa modal atau kos permulaan yang rendah. Ramai yang bergaji rendah sentiasa mengeluh bahawa pendapatan tidak cukup tetapi masa mereka sentiasa ada untuk melayari Facebook atau internet melalui smartphone.

Anda boleh jadikan Facebook anda sebagai satu tempat untuk menambah pendapatan anda. Namun, anda perlulah bermula dengan mencari ilmu dahulu bagi membantu memudahkan anda mendapatkan pendapatan tambahan.

Baca : Hujung bulan gaji selalu habis. Ini 5 cara untuk buat duit di internet.

KURANG PERBELANJAAN

Langkah seterusnya yang perlu diambil adalah dengan mengurangkan perbelanjaan harian dan kesedaran terhadap kepentingan wang perlu dipertingkatkan lagi. Aktiviti-aktiviti yang menggunakan banyak wang perlu dielakkan seperti menonton wayang, smartphone yang mahal, baju yang mahal, bermain bowling, pakej astro, makan di restoran mahal dan sebagainya.

Jika anda dapat mengurangkan masa diluar, anda boleh jimat wang anda dengan banyak. Situasi seperti ini seharusnya perlu lebih fokus kepada mencari pendapatan tambahan dan kurangkan perbelanjaan.

Pastikan setiap perbelanjaan yang digunakan dicatatkan supaya anda dapat membuat analisa kewangan anda setiap bulan. Melalui analisa tersebut, anda dapat melihat jenis perbelanjaan yang boleh dikurangkan pada bulan seterusnya.

Sebagai permulaan, jika anda mahu mengubah hidup anda kepada yang lebih baik, berjimat cermat adalah cara yang sangat efektif.

ELAK HUTANG

Dengan gaji RM1,000 sebulan, anda sebenarnya tidak layak untuk ambil sebarang hutang kereta atau peribadi walaupun pihak bank boleh meluluskan pinjaman anda.

Jika anda ambil juga, rancangan untuk mengubah hidup kepada lebih baik adalah semakin sukar dan perlu mengambil masa yang sangat lama. Hutang kereta bukan sahaja membebankan dari segi bayaran bulanan kepada pihak bank malah kos-kos tersembunyi juga akan mengurangkan pendapatan anda.

Baca : Beli Rumah Pelaburan : Keperluan atau kehendak

SIMPANAN

Asas kepada simpanan yang baik adalah kemampuan menyimpan sekurang-kurangnya 10% dari pendapatan yang diterima. Ini bermakna anda perlu menyimpan RM100 setiap bulan.

Pastikan selepas gaji diterima, anda asing wang 10% sebagai simpanan dahulu sebelum membelanjakan wang dari pendapatan yang diterima. Ini bagi mengelakkan anda berbelanja lebih dari yang sepatutnya.

Baca : 5 langkah mudah untuk menilai tahap kewangan anda.

APA YANG PERLU ANDA TAHU
  • Jika anda mampu untuk membuka Facebook atau Instagram setiap hari, ini bermakna anda berpeluang untuk menambah pendapatan anda.
  • Pengurusan kewangan bukan terletak pada jumlah pendapatan yang diterima tetapi bagaimana ia dibelanjakan.
  • Ilmu adalah senjata utama yang memudahkan anda membaik pulih kewangan anda bagi meningkatkan lagi pendapatan anda.
  • Untuk dapatkan minda yang positif, berkawan dengan orang yang positif terutama di laman Facebook.
  • Tangguh dahulu segala kehendak peribadi yang memerlukan kos yang tinggi.

Comments

ANDA KONSULTAN KEWANGAN? (ASB, TAKAFUL, UNIT TRUST, DLL)