5 perkara yang anda perlu tahu sebelum mulakan sebarang bentuk pelaburan.


Selalu kita dengar tentang kelebihan atau keuntungan sesuatu pelaburan yang terdapat di Malaysia. Sebelum anda sertai sesuatu pelaburan, pastikan anda faham dengan baik pelaburan yang anda sertai itu.

Perkara yang kami maksudkan disini adalah berkenaan dengan kajian menyeluruh terhadap diri sendiri dan jenis pelaburan yang anda ingin sertai. Hal ini bagi mengelakkan anda terjerat dengan pelbagai skim cepat kaya yang sedang aktif mencari mangsanya.

KEUNTUNGAN

Secara amnya, kadar keuntungan pelaburan yang terdapat di Malaysia adalah antara 7%-15% bergantung kepada jenis pelaburan. Namun, dalam setiap pelaburan, anda perlu tahu bahawa tiada jaminan terhadap keuntungan terutama pelaburan yang berlandaskan Shariah.

Kes terbaru yang anda boleh rujuk adalah Simpanan Shariah KWSP dimana tiada jaminan keuntungan yang diberikan kepada pencarum atau pemilik akaun.

Jika terdapat satu pelaburan yang memberi jaminan keuntungan yang tinggi, anda perlu lebih berhati-hati.

RISIKO 

Perkara asas dalam pelaburan yang anda perlu tahu adalah semakin tinggi keuntungan pelaburan, semakin tinggi juga risiko yang perlu anda hadapi. Ini bermaksud kadar kerugian juga boleh menjadi tinggi.

Pastikan anda mendapat nasihat yang tepat terhadap sesuatu bentuk pelaburan supaya anda tidak menyalahkan orang lain jika pelaburan anda mengalami kerugian. Dalam pelaburan hartanah contohnya, jika anda tersilap memilih rumah, anda mungkin mengalami kerugian untuk jangka masa yang panjang.

Manakala dalam pelaburan amanah saham pula, anda perlu mengambil kira keuntungan hanya selepas 5 tahun pelaburan tersebut bermula. Ini kerana dalam pelaburan ini memerlukan purata keuntungan 5 tahun untuk menilai keuntungan pelaburan anda.

MATLAMAT

Dalam sesuatu pelaburan, anda perlu tahu apakah matlamat anda dalam pelaburan tersebut. Anda perlu tetapkan berapakah kadar keuntungan yang anda inginkan dan juga berapakah tempoh masa anda dalam pelaburan tersebut.

Jika pelaburan tersebut adalah pelaburan jenis jangka masa pendek, anda perlu mencari pelaburan yang lebih agresif manakala jika pelaburan tersebut adalah untuk jangka masa panjang, anda perlu mencari pelaburan yang stabil dan kurang agresif.

Jangan sesekali melabur kerana terikut-ikut orang lain tanpa anda faham matlamat pelaburan tersebut.
SYARIKAT

Banyak syarikat kini membuat aktiviti pelaburan dengan mengambil deposit orang ramai tanpa lesen dari Bank Negara Malaysia (BNM). Skim-skim yang ditawarkan bukan sahaja mampu memberi keuntungan yang tinggi tetapi juga konsisten setiap bulan dengan jaminan.

Antara kes yang menjadi perbualan hangat ketika ini adalah apabila pemaju yang menjanjikan rumah banglo dengan harga yang sangat murah di Lembah Klang. Disebabkan tawaran harga yang murah, ramai pembeli telah membayar rumah tersebut tanpa selidik dahulu syarikat pemaju tersebut.

Selain itu, ada juga pihak yang mengambil kesempatan dengan menggunakan agama untuk menarik orang ramai melabur dalam skim cepat kaya mereka.

Pastikan anda semak dahulu latar belakang syarikat yang menawarkan skim pelaburan dengan keuntungan yang terlalu tinggi. Anda juga boleh menyemak senarai syarikat yang telah disenarai hitam oleh BNM di laman web rasmi mereka.

BACK UP PLAN/EXIT PLAN

Apa yang anda akan buat jika pelaburan anda tidak memberi keuntungan seperti yang diharapkan?

Tidak semua pelaburan akan memberi keuntungan seperti yang kita harapkan kerana faktor luaran seperti ekonomi yang tidak boleh dikawal. Pastikan sebelum anda melabur, tetapkan dahulu apakah strategi yang anda akan gunakan jika sesuatu berlaku terhadap pelaburan anda.

Anda mungkin boleh tetapkan berapakah kerugian yang sanggup anda rugi dan juga memindahkan pelaburan tersebut ke tempat lain yang lebih selamat. Ketika ekonomi dunia sedang jatuh, anda mungkin boleh melabur di tempat yang stabil dan selamat.

Akhir sekali, pastikan anda mempunyai simpanan yang cukup untuk dijadikan sebagai dana kecemasan jika anda menghadapi masalah kewangan yang berpunca dari pelaburan anda.

Comments

Post a Comment

ANDA KONSULTAN KEWANGAN? (ASB, TAKAFUL, UNIT TRUST, DLL)