Permohonan pinjaman perumahan anda lebih mudah lulus jika anda ikut cara ini.




Permohonan pinjaman perumahan semakin sukar untuk lulus?
Itu adalah satu realiti pada hari ini kerana kebanyakan bank mula mengetatkan syarat permohonan pinjaman perumahan.

Golongan yang paling terkesan adalah golongan yang bergaji rendah apabila sesetengah bank mula meletakkan kos sara hidup sebagai satu komitmen terutama yang tinggal di bandar.

Berikut adalah beberapa cadangan yang boleh anda cuba supaya permohonan pinjaman perumahan anda lebih mudah untuk diluluskan.


Simpanan

Asas dalam pengurusan kewangan adalah mempunyai simpanan yang konsisten setiap bulan walaupun sedikit. Sebelum anda menghantar permohonan pinjaman perumahan anda, pastikan anda mempunyai simpanan sekurang-kurangnya 3 bulan dari gaji anda.

Simpanan tersebut adalah satu bentuk dana untuk anda gunakan jika berlaku kecemasan. Pihak bank lebih suka jika anda mempunyai simpanan yang banyak kerana mereka tidak perlu risau tentang bayaran setiap bulan dari pihak anda.

Anda boleh letak simpanan anda di dalam akaun seperti Tabung Haji, ASB atau fixed deposit. 


Bayar cukai

Apa yang perlu kita tahu adalah pihak bank lebih suka untuk memberi pinjaman kepada orang kaya kerana mereka lebih mampu. Namun, anda boleh menunjukkan yang anda adalah seorang yang 'kaya' dengan membuat bayaran cukai jika sudah layak.

Bayaran cukai kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merupakan salah satu cara untuk membuktikan pendapatan yang anda miliki adalah sah dan tiada penipuan.

Pembayaran cukai lebih penting jika anda mempunyai pendapatan melalui perniagaan kerana anda tidak mempunyai slip gaji setiap bulan. Selain itu, pembayaran cukai tersebut juga bagi menunjukkan pendapatan anda adalah dari perniagaan yang sah dan ikut undang-undang.

Jika anda bekerja dengan majikan, anda perlu menghantar borang BE setiap tahun sebelum 30 April. Manakala jika anda mempunyai perniagaan sendiri, anda perlu menghantar borang B setiap tahun sebelum 30 Jun.


Pelaburan

Salah satu perkara yang boleh membantu permohonan pinjaman anda untuk lulus adalah dengan menunjukkan pelaburan yang anda buat seperti melalui saham, amanah saham atau apa sahaja pelaburan yang sah.

Setiap pelaburan yang anda buat menunjukkan yang anda mempunyai lebihan wang yang banyak untuk dilaburkan. Lebih baik lagi jika anda dapat melabur setiap bulan dengan konsisten.

Anda juga boleh membuat pelaburan secara tetap seperti RM200 setiap bulan melalui potongan gaji anda untuk tempoh jangka masa panjang. Selepas 30 tahun, pelaburan tersebut mempunyai keupayaan untuk mencecah RM1,000,000.



Takaful

Bank sangat risau jika sesuatu berlaku kepada diri anda dan pada masa yang sama anda tidak dapat membuat bayaran ansuran bulanan. Kejadian seperti kemalangan yang boleh menyebabkan anda tidak mampu bekerja dan hilang punca pendapatan amat merisaukan pihak bank.

Oleh itu, jika anda mempunyai takaful atau pelan perlindungan pendapatan sendiri, pihak bank melihat anda sebagai seorang yang mempunyai risiko yang rendah.


Dapatkan quotation takaful percuma

Seseorang yang mempunyai risiko rendah lebih mudah untuk lulus permohonan pinjaman perumahan dan mungkin anda boleh dapat kadar faedah atau keuntungan yang lebih rendah.


Kurang komitmen

Apabila komitmen anda kepada pihak bank sangat tinggi, semakin sukar untuk anda lulus pinjaman perumahan. Salah satu indikator yang boleh anda lihat adalah melalui formula Debt Service Ratio (DSR).

Contoh A:

Gaji bersih : RM3,000
Ansuran kereta : RM600
Ansuran pinjaman peribadi : RM500

Jika mahu beli rumah berharga RM200,000 ~ RM1,000 (ansuran)

600+500+1,000  x  100  = 70%
        3,000

Contoh B:

Gaji bersih : RM3,000
Ansuran kereta : RM400
Ansuran pinjaman peribadi : RM300

Jika mahu beli rumah berharga RM200,000 ~ RM1,000 (ansuran)

400+300+1,000  x  100  = 56%
       3,000

Melalui contoh di atas, pengiraan DSR untuk A adalah 70% manakala B pula adalah hanya 56%. Ini bermakna B lebih mudah lulus pinjaman perumahan kerana komitmen yang lebih rendah.


Pendapatan sambilan

Pendapatan sambilan yang anda buat seperti jualan melalui internet, rumah sewa, sewa kereta atau apa sahaja perniagaan yang anda buat boleh membantu meluluskan pinjaman perumahan anda.

Pastikan anda mempunyai dokumen penting seperti akaun bank syarikat untuk perniagaan, sijil pendaftaran dan rekod duit keluar masuk. Ini bagi memudahkan untuk pihak bank melihat prestasi perniagaan dan pendapatan anda.

Faktor lain yang perlu anda lihat adalah laporan CCRIS dan CTOS anda.


Comments

ANDA KONSULTAN KEWANGAN? (ASB, TAKAFUL, UNIT TRUST, DLL)