Perbezaan antara hutang jahat dan hutang baik.



Hutang yang tidak dikawal dengan baik akan mendekatkan si peminjam kepada muflis. Menurut Robert Kiyosaki, terdapat dua jenis hutang iaitu hutang baik dan hutang jahat.

Hutang baik akan memberi manfaat kepada peminjam walaupun ia hutang. Manakala hutang jahat pula akan membebankan peminjam.

Apakah perbezaan antara hutang baik dan hutang jahat?

Hutang baik

Hutang baik adalah hutang yang akan memberi nilai tambahan kepada si peminjam sama ada dari segi pendapatan tambahan atau peningkat nilai aset. Hutang baik juga sering digunakan untuk pemilikan aset.

Contoh hutang baik yang popular adalah pinjaman perumahan yang digunakan untuk pelaburan hartanah. Dengan pinjaman perumahan, anda akan mendapat manfaat daripada kenaikan nilai rumah tersebut dan pada masa yang sama juga boleh dapat pendapatan pasif melalui sewa setiap bulan.

Jika anda beli rumah pada harga RM100,000, selepas lima tahun nilai rumah tersebut mungkin akan meningkat sehingga RM200,000. Ini bermakna anda sudah untung RM100,000 selepas lima tahun dan pada masa yang sama bayaran bulanan kepada pihak bank juga penyewa anda yang akan bayar.


Selain pinjaman perumahan, hutang baik yang lain adalah seperti hutang kereta yang digunakan untuk disewakan semula. Walaupun nilai kereta tersebut akan berkurang setiap tahun, pendapatan yang diterima melalui sewa kereta menjadikan hutang tersebut hutang yang baik.

Selain itu, hutang baik juga akan menyebabkan pendapatan kita setiap bulan bertambah.


Hutang jahat

Hutang jahat pula adalah hutang yang akan mengurangkan gaji atau pendapatan yang diterima setiap bulan. Hutang jahat ini juga yang menyebabkan bebanan terhadap peminjam meningkat.

Contoh hutang jahat adalah seperti hutang peribadi yang digunakan untuk tujuan peribadi. Hutang tersebut menyebabkan peminjam terpaksa menggunakan duit gaji sendiri untuk membayar kepada pihak bank.

Hutang kereta untuk tujuan penggunaan sendiri juga boleh dikategorikan sebagai hutang jahat kerana nilai kereta tersebut yang semakin berkurang dan pada masa yang sama juga meningkatkan komitmen peminjam.


Jika anda beli kereta pada harga RM50,000, selepas 5 tahun nilai kereta tersebut akan berkurang menjadi RM20,000 manakala hutang anda dengan bank pula masih melebihi RM20,000. Ini bermakna jika anda jual kereta tersebut, anda masih perlu bayar kepada pihak bank dan tidak mendapat sebarang keuntungan.

Apa yang perlu anda faham?

Pinjaman perumahan yang selalunya dikategorikan sebagai hutang baik juga akan menjadi hutang jahat jika rumah tersebut digunakan untuk kegunaan sendiri. Dalam kes tersebut, walaupun ada peningkatan nilai pada rumah tersebut, bayaran bulanan setiap bulan kepada pihak bank menyebabkan komitmen peminjam meningkat.


Hutang pendidikan juga adalah satu hutang yang baik kerana ia adaah satu bentuk pelaburan yang akan memberi peluang pekerjaan kepada peminjam.

Untuk lebih senang faham, hutang baik akan meningkatkan pendapatan peminjam manakala hutang jahat akan mengurangkan pendapatan peminjam.



ANDA KONSULTAN KEWANGAN? (ASB, TAKAFUL, UNIT TRUST, DLL)