Urus Duit : Lelaki VS Perempuan


Pengurusan kewangan bukanlah sesuatu yang susah jika kita tahu bagaimana untuk mengawalnya. Tetapi, pengurusan kewangan juga bukanlah sesuatu yang sangat mudah jika kita sambil lewa dengan duit yang keluar dari poket kita.

Antara lelaki dan perempuan, sikap boros sering dituding ke arah perempuan kerana hobinya yang suka shopping.

Zaman sekarang, lelaki juga sudah ramai yang minat dan menjadikan shopping sebagai hobi mereka.

Kami ingin kongsikan perbezaan antara lelaki dan perempuan dari segi pengurusan kewangan.

1. Simpanan

Lelaki lebih mudah untuk simpan duit berbanding perempuan? YA
Antara faktor utama lelaki lebih mudah untuk menyimpan adalah kerana tidak minat dengan shopping. Tetapi ada juga segelintir lelaki yang lebih suka habiskan wang untuk hobi yang memerlukan duit yang banyak seperti barang accessories kereta.

Selain itu, faktor budaya lelaki perlu bayar wang hantaran menyebabkan mereka lebih cenderung untuk menyimpan melainkan mereka adalah anak orang kaya.

Betul ke perempuan lebih susah untuk menyimpan @ boros?
Tidak semestinya. Zaman sekarang sudah ramai perempuan yang lebih berdikari dalam pekerjaan dan mencari rezeki.

Lihat sahaja perniagaan online seperti barang kosmetik di mana ramai peniaga adalah perempuan. Tetapi pembeli juga ramai perempuan.
Perempuan juga lebih mudah untuk terpengaruh dengan teknik menyimpan yang nampak menarik walaupun mereka tidak faham seperti tabung warna warni.
Tabiat menyimpan duit kertas RM5 di dalam tabung dan disebut tabung HIJAU ini semakin popular dimana ramai yang mula mengumpul duit kertas RM5 dengan banyak. Ini adalah satu trend yang bagus untuk diikuti.

Manakala sebahagian lelaki pula mempunyai sikap ego yang tinggi dimana mereka tidak gemar untuk ikut perkara yang nampak kecil seperti itu. Mereka lebih suka untuk menyimpan di dalam bank sahaja kerana mudah dan selamat.
2. Perbelanjaan

Bila sebut pasal perbelanjaan sahaja mesti ramai yang terbayang bagaimana sikap perempuan yang shopping tak ingat dunia. Percayalah, itu hanya kisah 5 tahun lepas dimana perempuan memang ditugaskan untuk membeli barang dapur dan pada masa yang sama beli barang peribadi.

Zaman sekarang, lelaki dan perempuan sama sahaja. Lelaki sekarang ada yang lebih suka kerja di rumah dan menguruskan hal rumah tangga seperti mengemas dan memasak. Manakala perempuan pula, bekerja di pejabat.

Apabila trend dah berubah, gaya hidup dan perbelanjaan juga turut berubah.
Lagi pun, zaman sekarang anda tak perlu untuk keluar dari rumah untuk shopping sebab semuanya boleh dibuat melalui online sahaja.

Dalam kes mengurus perbelanjaan, lelaki dan perempuan sama sahaja kerana apa yang membezakan antara mereka adalah bagaimana mereka mengawal nafsu perbelanjaan mereka.



3. Rekod duit keluar masuk

Perempuan lebih suka menulis berbanding lelaki. Oleh itu, perempuan sepatutnya lebih suka membuat rekod duit keluar dan masuk setiap hari.
Jika duit yang keluar dan masuk dari poket kita dapat direkod dengan baik, masalah kebocoran wang mungkin dapat dikurangkan.
Lelaki biasanya lebih suka buat senarai semak sesuatu barang yang ingin dibeli sebelum pergi ke pusat beli belah. Gaya ini lebih mudah kerana kita hanya pergi sana untuk beli apa yang perlu sahaja.

Perempuan pula, walaupun sudah ada senarai semak barang yang ingin dibeli, masuk sahaja ke dalam pusat beli belah mereka akan lupa semua senarai tersebut. Lebih-lebih lagi bila ternampak banyak sales dan promotion  yang sedang ditawarkan.

4. Pendapatan

Jika dahulu tugas seorang lelaki adalah untuk mencari rezeki manakala tugas seorang perempuan adalah untuk menguruskan hal rumah tangga. Tetapi tidak lagi pada hari ini.

Dengan kos hidup yang semakin meningkat, lelaki dan perempuan terpaksa untuk bekerja untuk mencari rezeki.

Sebenarnya, perempuan zaman sekarang juga boleh bekerja tanpa perlu keluar dari rumah. Ramai yang sudah buat seperti menjalan perniagaankan online hanya dari rumah. Apabila bekerja dari rumah, banyak masa boleh diluangkan untuk menguruskan hal rumah tangga seperti memasak, kemas rumah dan basuh baju.

Bagaimana kalau lelaki dan perempuan kerja dari rumah?
Lebih bagus. Banyak masa berkualiti dapat diluangkan bersama.

Kita sudah dibiasakan dengan lelaki harus beli rumah sebagai ketua keluarga. Memang tidak dinafikan bahawa memiliki rumah sangat penting terutama bagi orang lelaki.

Bagi perempuan pula, anda juga digalakkan untuk beli rumah sebelum berkahwin sebagai harta anda sendiri. Jika berlaku kes perceraian, rumah tersebut tidak dikira sebagai harta sepencarian dan ianya milik anda 100%.

Untuk perempuan, jika anda merancang untuk menjadi suri rumah sepenuh masa, pastikan anda memiliki aset yang cukup sebagai bekalan jika berlaku perkara yang tidak diingini.
Jika perempuan mampu memiliki rumah sendiri, ego lelaki pasti tercalar.
Previous Post Next Post