5 ciri-ciri 'scammer' terbaru yang perlu anda tahu.


Apabila ditawarkan dengan kekayaan yang datang sekelip mata, ramai yang mula hilang kawalan dan mudah terpedaya. Perkara yang sama sering sahaja berlaku dikalangan masyarakat kita pada hari ini.

‘Scam’ atau penipuan dalam pelaburan memang tidak pernah hilang walaupun sudah beberapa kali ditumpaskan. Setiap kali ada yang sudah tewas, pasti ada yang baru akan muncul. Lebih menyedihkan lagi apabila mangsa yang tertipu juga adalah golongan cerdik pandai dengan pekerjaan yang hebat.

Kami ingin kongsikan beberapa ciri-ciri skim yang sering menipu orang ramai atau ‘scam’ ini supaya anda tidak turut sama terpedaya.


Pulangan yang tinggi dan tetap
Apabila anda terlihat iklan yang mengajak anda untuk menyertai skim mereka dengan pulangan yang tinggi serta lumayan, elakkan sahaja.

Skim seperti Skim Cepat Kaya ini biasanya menawarkan pulangan yang tinggi iaitu melebihi 30% sebulan dan konsisten setiap bulan. Dengan tawaran ini, ramai yang mula menyertai dengan harapan untuk menjadi kaya.

Pulangan yang biasa diterima melalui pelaburan yang sah adalah biasanya tidak melebihi 12% - 15%. Pelaburan amanah saham juga tidak mampu menjanjikan pulangan yang tinggi sehingga 20% setahun.

Memerlukan pinjaman peribadi
Jika yuran penyertaan sesuatu skim atau pelaburan tersebut adalah tinggi sehingga terpaksa memohon pinjaman peribadi, ini menunjukkan anda tidak perlu menyertai skim tersebut.

Banyak iklan skim cepat kaya yang boleh membantu orang ramai untuk memohon pinjaman peribadi untuk menyertai mereka. Skim ini hanya permainan pusingan wang dimana yuran yang dibayar tersebut adalah dijadikan sebagai komisyen penaja mereka.

Pusingan ini akan berterusan sehingga tiada penyertaan baru yang diambil dan menyebabkan orang terakhir dalam skim tersebut akan mengalami kerugian.

Golongan yang sering menjadi mangsa adalah penjawat awam atas faktor kemudahan pinjaman peribadi yang lebih murah berbanding sektor swasta.

Perlu mencari orang bawah
Selepas membayar yuran yang tinggi, peserta biasanya tidak perlu menjual barang tetapi perlu mencari orang ramai untuk menyertai mereka. Selagi ada peserta baru yang sertai skim tersebut, selagi itu skim tersebut dapat bertahan.

Komisyen yang diterima bukanlah bergantung kepada jualan produk tetapi bergantung kepada penyertaan ahli baru. Skim seperti ini menyebabkan ramai ahli yang lewat untuk sertai skim tersebut mendapat kerugian terutama apabila skim tersebut sudah mendapat perhatian dari pihak berkuasa.

Ahli yang sertai skim ini bukan sahaja meliputi golongan yang sudah bekerja, malah pelajar di universiti juga ramai yang terlibat sama. Lebih parah lagi apabila mereka menggunakan pinjaman pendidikan untuk menyertai skim cepat kaya ini.

Fokus kepada skim, bukan produk
Perbezaan ketara yang anda dapat lihat antara skim cepat kaya dengan jualan langsung adalah pemasaran dan penjualan produk. Sesetengah skim cepat kaya mengeluarkan produk hanya sekadar mengaburi mata orang ramai.

Walaupun mempunyai produk sendiri, skim tersebut tidak memerlukan penjualan produk untuk ahli mendapatkan komisyen. Selain itu, produk yang ditawarkan juga lebih mahal berbanding produk yang terdapat dipasaran.


Sering tunjuk kekayaan di media sosial
Anda mesti pernah lihat gambar ‘orang muda memegang duit yang banyak’ di laman sosial seperti Facebook. Hanya mereka yang menjalankan skim cepat kaya akan menunjukkan gambar seperti itu. Fokus mereka adalah untuk menjadi kaya dalam sekelip mata.

Apabila iklan seperti itu keluar di laman sosial, ramai yang mula tertarik dan ingin menyertai skim tersebut. Gambar seperti itu bertujuan menarik minat orang ramai dan dijadikan sebagai bukti kejayaan mereka selepas menyertai skim tersebut.

Jika anda menyertai sesuatu pelaburan atau skim disebabkan melihat kekayaan orang lain, anda mungkin bakal menjadi mangsa penipuan.
Seramai 30 orang telah mendaftar untuk Seminar Asas Pelaburan Hartanah di Shah Alam. Anda juga boleh mendaftar di sini. DAFTAR

Comments

ANDA KONSULTAN KEWANGAN? (ASB, TAKAFUL, UNIT TRUST, DLL)