4 Quadrant Asas Kewangan Yang Anda Perlu Penuhkan


Macam mana nak dapatkan pengurusan kewangan yang baik?

Salah satu cara paling mudah untuk menilai tahap pengurusan kewangan adalah dengan melihat 4 Quadrant asas kewangan.

4 Quadrant tersebut adalah seperti berikut:

QUADRANT 1 : Simpanan

Quadrant pertama dan paling penting adalah dengan memenuhkan simpanan anda.

Simpanan paling penting adalah simpanan kecemasan iaitu antara 3 hingga 6 bulan bergantung kepada tahap risiko anda.

Simpanan kecemasan ini berfungsi sebagai satu dana yang akan membantu anda jika menghadapi masalah yang memerlukan duit dengan cepat. Contohnya adalah seperti kerosakan kereta, kehilangan telefon bimbit atau laptop, kos rawatan perubatan dan lain-lain lagi.

Jika anda masih belum memenuhi Quarant 1, anda sukar untuk lakukan quadrant seterusnya seperti menambah aset dan mulakan pelaburan.

QUADRANT 2 : Perlindungan

Perlindungan yang perlu anda miliki adalah terbahagi kepada dua (2) iaitu perlindungan pendapatan/Income Protection & penggantian pendapatan/Income Replacement.

Perlindungan Pendapatan/Income Protection

Tujuan perlindungan pendapatan atau income protection ini adalah untuk memastikan pendapatan atau gaji anda tidak dikeluarkan untuk menanggung kos perubatan. Anda boleh gunakan kad perubatan sebagai satu alat income protection sama ada kad perubatan sendiri atau yang disediakan oleh majikan.

Pastikan jumlah yang dilindungi bagi kos rawatan adalah mencukupi sesuai dengan kos rawatan yang semakin meningkat.

Manakala jika anda staff kerajaan pula, anda boleh gunakan manfaat hospital kerajaan yang disediakan.

Penggantian Pendapatan/Income Replacement.

Penggantian pendapatan atau income replacement adalah sangat penting bagi individu yang mempunyai pendapatan sendiri. Tujuannya adalah supaya anda masih mempunyai pendapatan walaupun anda tidak bekerja akibat dari masalah kesihatan.

Sebagai ketua keluarga yang menanggung isteri dan anak-anak, income replacement mestilah tinggi.

Perlindungan sangat penting bagi memastikan simpanan dan pelaburan anda tidak terusik apabila mempunyai masalah kesihatan.


QUADRANT 3 : Aset

Quadrant 3 adalah aset fizikal seperti rumah dan emas.

Namun, jika anda berjaya untuk mempunyai aset rumah terlebih dahulu adalah lebih baik. Rumah bukan sahaja boleh dijadikan sebagai satu aset malah membantu anda sebagai tempat perlindungan.

Nilai rumah yang semakin meningkat memang sesuai untuk dijadikan sebagai satu aset penting.

Kedua-dua aset ini, rumah dan emas juga boleh dijadikan sebagai satu perlindungan jika kita menghadapi masalah kewangan pada masa hadapan. Anda boleh jual aset tersebut untuk menyelesaikan masalah kewangan anda.

QUADRANT 4 : Pelaburan

Quadrant 4 dan terakhir adalah pelaburan.

Antara pelaburan yang anda boleh mulakan adalah seperti Unit Trust, Saham, pembiayaan ASB dan juga hartanah.

Setiap instrumen pelaburan tersebut mempunyai risiko yang tersendiri sama ada rendah, sederhana atau tinggi. Sebagai permulaan, anda boleh pilih pelaburan yang berisiko rendah dan sederhana dahulu.

Untuk mengurangkan risiko, anda digalakkan untuk mempelbagaikan pelaburan anda iaitu dengan melabur di setiap instrumen pelaburan tersebut.

Pelaburan yang dilakukan mestilah untuk jangka masa panjang.

Salah satu kesilapan yang sering dilakukan oleh kebanyakan individu hari ini adalah dengan membuat pelaburan terlebih dahulu tanpa memenuhkan Quadrant 1, 2 dan 3.

Kesannya, apabila mempunyai masalah kewangan, mereka terpaksa mengeluarkan atau berhenti dari melabur. Ini menyebabkan pelaburan tersebut tidak sempat untuk beri keuntungan kepada mereka.


1 Comments

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Previous Post Next Post