Umur 30 : Adakah sudah terlewat untuk mulakan pelaburan?


Memang tidak dapat dinafikan, ramai individu yang kurang kesedaran tentang pengurusan kewangan yang baik terutama golongan yang sudah berumur.

Jika di lihat kepada statistik jumlah orang muda yang bankrap, rumah yang terpaksa dilelong dan juga hutang dengan ceti haram, memang menyedihkan.

Namun, keadaan atau masalah tersebut kini sudah nampak baiknya apabila sudah ramai yang mula mendapat kesedaran terhadap pengurusan kewangan yang baik terutama golongan muda. Dengan bantuan dari internet, buku kewangan dan juga seminar pengurusan kewangan, ramai yang sudah mendapat manfaatnya.

Bagi golongan yang berumur 30 tahun ke atas pula, ramai yang menganggap mereka sudah terlewat untuk mulakan kembali pengurusan kewangan yang baik.

Berikut adalah beberapa faktor yang perlu dinilai semula oleh golongan ini.

Hutang sedia ada

Jika anda memang penggemar hutang di Malaysia, pastinya ketika umur 30 sudah mempunyai hutang sekurang-kurangnya 60% dari gaji anda. Ini perkara yang banyak berlaku di Malaysia.

Semakin meningkat usia, semakin banyak hutang yang diambil.

Perkara pertama yang anda perlu lakukan sebelum ingin mencantikkan semula pengurusan kewangan anda adalah dengan membuat analisis terhadap hutang sedia ada. Adakah hutang atau bayaran ansuran sekarang membebankan kewangan anda atau masih terkawal?

Baca : 8 website kewangan yang patut anda baca

Simpanan

Hutang sedia ada seperti di atas akan menentukan kadar simpanan anda setiap bulan. Semakin banyak hutang, semakin sedikit simpanan yang boleh dilakukan.

Umur 30, jika anda masih tiada simpanan, adalah sesuatu yang amat menyedihkan dan sangat kritikal. Sebelum lakukan sebarang pelaburan, pastikan simpanan anda sudah cukup bagi menampung sebarang kerugian jika berlaku.

Jika anda melabur tanpa sebarang simpanan, keadaaan 'terdesak' mungkin akan menyebabkan anda membuat pilihan yang kurang tepat dalam pelaburan.

Perbelanjaan keluarga

Ketika bujang, anda mungkin perlu fikir berkenaan perbelanjaan diri sendiri sahaja. Jika hujung bulan tiada duit belanja, anda terpaksa menanggung seorang diri.

Tetapi, apabila sudah berkeluarga, banyak perbelanjaan yang perlu ditanggung seperti untuk pasangan dan anak-anak. Dan kali ini, jika tiada duit belanja, satu keluarga terpaksa menanggung.

Bagi yang sudah berkahwin, tanggungjawab anda untuk menyara keluarga lebih tinggi. Adakah selepas keluarkan wang perbelanjaan keluarga, masih terdapat sedikit wang untuk simpanan?

Pelaburan yang sesuai

Ketika muda, anda mungkin boleh menghadapi segala risiko kerugian jika melakukan pelaburan. Risiko tersebut semakin meningkat apabila anda sudah berkeluarga.

Jadi, pelaburan yang sesuai untuk individu yang baru ingin bermula ketika sudah lewat usia adalah pelaburan yang berisiko rendah.

Selain itu, anda juga boleh mulakan dengan pelaburan ilmu yang akan membantu mencorakkan pengurusan kewangan anda.

Bagaimana untuk bermula?

Langkah 1: Semak semula hutang sedia ada dan cuba fokus untuk jadikan jumlah ansuran bulanan tidak melebihi 30% dari gaji anda. (Kecuali hutang baik)

Langkah 2 : Mulakan pengurusan kewangan anda dengan simpanan yang konsisten setiap bulan sekurang-kurangnya 10% dari gaji semasa.

Langkah 3 : Apabila simpanan menyamai perbelanjaan untuk tiga (3) bulan, asing ke tempat lain dan mulakan simpanan baru.

Langkah 4: Mulakan dengan pelaburan ilmu dahulu untuk pilih instrument yang sesuai untuk dimulakan.

Langkah 5 :  Pastikan faham dan mampu untuk menanggung segala risiko pelaburan anda.

3 Comments

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Previous Post Next Post