Duit VSS : Bayar hutang, melabur atau berniaga?



Ketika ekonomi merudum, ramai individu yang tidak bernasib baik telah diberhentikan oleh majikan mereka. Namun, terdapat juga majikan yang menawarkan wang pampasan atau dikenali sebagai Voluntary Separation Scheme (VSS).

Bagi penerima VSS, berikut adalah beberapa tip untuk anda uruskan duit VSS tersebut dengan baik.

Bayar hutang

Semua orang tahu hutang itu wajib dibayar. Namun, bergantung juga kepada beberapa jenis hutang dan kaedah pembayarannya.

Hutang dengan pihak bank (kereta,rumah)

Hutang dengan pihak lebih mudah kerana anda sudah tahu jumlah ansuran dan tempoh bayaran. Jika sudah dibuang kerja, hutang tersebut pasti membebankan kerana sudah tiada punca pendapatan setiap bulan.

Untuk keselamatan, simpanan jumlah ansuran hutang tersebut untuk tempoh satu tahun. Jika ansuran bulanan anda adalah RM1,000 sebulan, ini bermakna anda perlu asing duit VSS tersebut sebanyak RM10,000 sebagai persediaan hutang tersebut.

Anda mempunyai tempoh satu (1) tahun untuk dapatkan kembali punca pendapatan anda.

Hutang dengan keluarga atau kawan

Ini adalah jenis hutang yang anda wajib selesaikan dahulu. Jika anda mempunyai hutang dengan ahli keluarga atau kawan, pastikan anda bayar seperti yang dijanjikan.

Hutang dengan ceti haram atau Ah Long.

Jika anda sudah mempunyai hutang dengan ceti haram atau ah long, selesaikan lebih awal bagi mengelak masalah kadar faedah yang semakin meningkat. Tangguh pembayaran juga akan merisikokan hidup anda disebabkan oleh ancaman dari ceti haram tersebut.

Apabila anda sudah sediakan dana dan simpanan untuk hutang anda, baru anda boleh merancang sama ada mahu berniaga atau melabur.

Baca : 5 perkara yang anda boleh lakukan dengan gaji pertama anda

Melabur

Di Malaysia, terdapat banyak jenis pelaburan yang sah boleh anda sertai. Sebenarnya, risiko anda lebih tinggi apabila melabur tetapi pada masa yang sama tiada punca pendapatan.

Pelaburan sepatutnya dimulakan sewaktu anda sudah mempunyai pendapatan. Namun, jika anda mahir dalam pelaburan yang baik, anda boleh jadikan pelaburan tersebut sebagai punca pendapatan anda.

Ramai individu yang melabur secara sepenuh masa dan mendapat pendapatan yang baik setiap bulan. Lebih penting, elakkan untuk sertai skim cepat kaya dan meragukan. Apabila anda mempunyai duit yang banyak, anda akan menjadi sasaran ahli skim cepat kaya. Oleh itu, berhati-hati dengan mereka.

Pelaburan pertama – Ilmu

Sebelum terlibat dengan sebarang bentuk pelaburan, anda wajib dapatkan dahulu ilmu secukupnya. Hadir ke seminar berbayar setiap minggu supaya anda lebih yakin dengan pelaburan yang dilakukan.

Asing sebahagian duit VSS anda untuk pelaburan ilmu seperti hadir ke seminar, beli buku dan berkenalan dengan individu yang boleh membantu anda. Anda juga mungkin berpeluang untuk menyertai kumpulan pelabur yang sering melakukan pelaburan secara berkumpulan.

Baca : Masa terbaik untuk beli rumah

Selepas itu, anda boleh pilih sama ada mahu melabur dalam hartanah, saham dan lain-lain lagi. Kami sarankan untuk fokus melabur dalam pelaburan tempoh singkat kerana lebih sesuai dengan keadaan anda yang tiada kerja.

Berniaga

Jika anda tidak mempunyai pengalaman berniaga, ini mungkin satu cabaran untuk anda. Namun, itu bukanlah satu alasan untuk anda tidak berniaga.

Sebelum berniaga, pastikan anda sudah asingkan duit VSS anda untuk perbelanjaan selama setahun supaya anda lebih fokus terhadap perniagaan anda.

Hari ini anda boleh lihat ramai individu yang sudah berjaya dan ingin membantu orang ramai dalam perniagaan. Anda boleh hadir ke seminar mereka untuk mendapatkan ilmu dan perkongsian pengalaman dari individu yang berjaya.

Apa yang lebih penting, jangan tambah hutang anda semata-mata untuk mulakan perniagaan. Pilih jenis perniagaan yang anda ingin sertai dan fokus. Jangan lakukan terlalu banyak jenis perniagaan yang berbeza sehingga anda tidak boleh fokus semuanya.

Post a Comment

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Previous Post Next Post