5 perkara terbaik yang anda boleh lakukan dengan gaji pertama anda


Perkara yang anda lakukan hari ini akan menentukan perkara yang anda dapat pada masa akan datang. Jika hari ini anda boleh mengurus kewangan anda dengan baik, anda akan mempunyai kewangan yang kukuh pada masa akan datang.

Tetapi, jika anda gagal mengurus kewangan dengan baik ketika masih muda, hari tua anda mungkin akan membebankan. Waktu terbaik untuk mula mengurus kewangan adalah ketika anda menerima gaji pertama anda.

Apa yang anda boleh lakukan dengan gaji pertama anda?

#1 Belanja ibu bapa

Sebelum anda mendapat pekerjaan, ibu bapa adalah orang yang menanggung anda sejak dari kecil lagi sehingga anda berjaya mendapat pekerjaan. Oleh itu, hargai sumbangan serta jasa mereka dengan  hadiah seperti belanja makan atau bawa pergi melancong.

Walaupun tidak mampu untuk membalas semua jasa mereka, tetapi cukup untuk buat mereka rasa gembira.

Baca : 7 kesilapan kewangan yang masih dilakukan oleh Melayu hari ini

#2 Simpanan kecemasan

Kenapa perlu buat simpanan kecemasan dahulu? Walaupun anda akan menerima gaji setiap bulan, tetapi itu bukan bermakna pendapatan tersebut akan sentiasa cukup. Anda perlu lakukan persediaan jika berlakunya kecemasan seperti kehilangan barang berharga, kerosakan, kos perubatan dan lain-lain lagi.

Ramai yang lupa untuk buat satu simpanan kecemasan ketika mula bekerja. Kesannya, ramai juga yang terpaksa meminjam dari orang lain atau memohon pinjaman peribadi untuk perkara-perkara kecemasan tersebut.

Selain itu, anda juga boleh sediakan satu bajet untuk ambil pelan perlindungan supaya anda tidak terbeban jika menghadapi musibah atau masalah kesihatan.

#3 Selesaikan hutang

Jika anda mempunyai hutang dengan rakan atau keluarga, selesaikan dahulu supaya anda lebih rasa tenang. Selepas itu, baru anda boleh merancang kewangan anda dengan lebih baik.

Kesilapan yang sering dilakukan oleh golongan yang baru mula bekerja adalah dengan menambah hutang dengan banyak. Tahun pertama, anda akan menerima cabaran dan dugaan untuk menambah hutang kereta, hutang kad kredit dan hutang pinjaman peribadi.

Jika anda dapat mengelak atau mengawal hutang-hutang tersebut pada tahun pertama, kehidupan anda selepas itu akan jadi lebih tenang.

#4 Tambah ilmu pelaburan

Anda mungkin baru sahaja tamat belajar dalam bidang kewangan atau pelaburan di universiti. Namun, terdapat lebih banyak ilmu kewangan dan pelaburan yang anda perlu belajar lagi kerana tidak terdapat di dalam silibus universiti.

Jangan terkejut jika golongan yang bergaji dan berjawatan tinggi juga mempunyai masalah kewangan kerana tidak mempunyai ilmu pengurusan kewangan yang baik.

#5 Pelaburan

Salah satu masalah utama yang sering dihadapi oleh golongan muda adalah terlalu inginkan keuntungan yang cepat. Mereka tidak mahu melabur dalam pelaburan untuk jangka masa panjang tetapi lebih suka menyertai skim cepat kaya.

Setiap tahun, ada sahaja skim cepat kaya yang baru dan mangsanya pula adalah dari golongan yang sama. Tanpa ilmu asas pelaburan, anda mungkin akan menjadi sebahagian dari mangsa skim cepat kaya tersebut.

Baca : Sertai tim kami sebagai Penasihat Kewangan dan bantu orang ramai


Post a Comment

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Previous Post Next Post