11 soalan yang anda patut tanya kepada ejen takaful sebelum anda berkata 'YA'.

Image result for ask your agent

Adakah anda pernah dihubungi oleh ejen takaful untuk membuat sesi penerangan berkenaan pelan perlindungan yang ingin mereka tawarkan? Sebelum ingin berjumpa dengan mereka, pastikan anda sudah mempunyai soalan-soalan penting yang perlu anda sediakan.

Seorang ejen takaful biasanya sudah dilatih dan diajar untuk memujuk bakal pelanggan mereka supaya mengambil dan bersetuju dengan pelan perlindungan yang dicadangkan. Bagi mengelakkan masalah kurang maklumat atau salah faham terhadap sesuatu produk, berikut adalah beberapa soalan yang anda perlu tanya kepada mereka.

Jenis pelan

Perkara pertama yang perlu anda tanya adalah berkenaan jenis pelan yang mereka tawarkan. Di Malaysia, terdapat beberapa jenis takaful yang ditawarkan seperti kad perubatan, produk berkait pelaburan, pakej individu, pakej keluarga dan banyak lagi.

Manfaat utama yang diterima biasanya hanya ada tiga sahaja iaitu kad perubatan, pampasan/hibah dan simpanan atau pelaburan. Hanya pilih pelan yang sesuai dengan diri anda atau keluarga anda. Anda perlu fahamkan fungsi setiap pelan yang anda ambil supaya sesuai dengan gaya hidup serta keperluan anda.


Tempoh perlindungan bermaksud tempoh sijil perlindungan anda akan matang atau tamat tempoh. Terdapat beberapa pelan yang menawarkan sehingga umur 65, 70, 80 atau sehingga 100 tahun.

Purata umur rakyat Malaysia untuk terus hidup adalah sehingga umur 70 tahun. Oleh itu, pastikan anda tidak mengambil pelan yang hanya beri perlindungan kurang dari umur 70 tahun. Jika tempoh perlindungan anda tamat ketika umur anda 60 tahun dan ingin mengambil pelan perlindungan yang baru, premium yang perlu dibayar adalah sangat tinggi.

Pampasan

Soalan berkenaan pampasan yang perlu anda tanya adalah berkenaan jenis penyakit atau keadaan yang membolehkan anda mendapat pampasan atau hibahkan wang tersebut kepada waris. Perkara normal yang membolehkan anda layak untuk mendapat pampasan tersebut adalah seperti kematian, cacat kekal dan menghidap penyakit kritikal.

Selain itu, anda juga boleh buat tambahan untuk mendapat pampasan seperti menghidap penyakit kanser peringkat awal, mengalami kemalangan dan lain-lain. Setiap tambahan manfaat biasanya akan meningkatkan premium anda.

Jumlah pampasan yang diambil juga mestilah sesuai dengan anda supaya tidak terkurang dan terlebih.

Baca : Ambil pampasan secukupnya supaya anda tidak menyusahkan waris anda

Simpanan / pelaburan

Manfaat simpanan yang ditawarkan biasanya hasil dari pelaburan unit trust syarikat takaful tersebut. Oleh itu, simpanan yang bakal diterima biasanya tidak boleh dijanjikan tetapi hanya boleh dianggarkan mengikut prestasi dana pelaburan.

Simpanan serta pelaburan tersebut juga berfungsi untuk mengelakkan sijil perlindungan anda diberhentikan atas faktor tidak membuat bayaran mengikut waktu yang ditetapkan. Jika anda gagal membuat bayaran, nilai simpanan tersebut akan digunakan untuk mengelakkan sijil anda diberhentikan.

Jumlah caruman

Jika anda ingin ambil pelan perlindungan, hanya ada dua pilihan sahaja iaitu mengambil mengikut bajet bulanan anda atau mengikut manfaat yang anda mahu. Bagi kebanyakan individu, mereka akan mengambil atau memilih pelan perlindungan mengikut bajet mereka.

Ini sangat penting bagi mengelakkan masalah gagal membuat bayaran. Pastikan caruman yang diambil tidak melebihi 10% dari pendapatan yang diterima. Walaupun anda mampu untuk membuat bayaran yang tinggi, keadaan mungkin berubah jika anda menghadapi masalah kewangan pada masa akan datang.

Perlindungan penuh/co takaful

Sebelum ini, banyak syarikat takaful yang menawarkan beberapa pelan perlindungan dengan bercirikan co-takaful yang bermaksud anda berkongsi kos perubatan dengan syarikat takaful. Ini bermakna anda juga perlu bayar kos perubatan tersebut sebanyak 10% dari jumlah keseluruhan.

Oleh itu, pastikan anda mengambil pelan perlindungan yang memberikan perlindungan sepenuhnya terhadap kos perubatan.


Manfaat kad perubatan biasanya mempunyai limit tahunan dan seumur hidup. Namun, terdapat juga beberapa pelan kad perubatan yang menawarkan manfaat tiada limit tahunan atau seumur hidup.

Anda juga perlu lebih peka dengan kos rawatan untuk penyakit kritikal di Malaysia yang menelan kos perubatan yang tinggi. Contohnya rawatan untuk penyakit jantung adalah sebanyak RM30,000 hingga RM50,000 manakala pemindahan hati mencecah sehingga RM300,000. Jika anda mengambil had tahunan sebanyak RM100,000 sahaja, limit tersebut tidak cukup untuk kos rawatan pemindahan hati.

Hospital panel

Anda juga perlu tanya berkenaan senarai hospital panel yang menerima kad perubatan anda. Ini bagi mengelakkan masalah kad perubatan anda tidak diterima. Anda perlu anda senarai tersebut supaya mudah jika anda pergi melancong atau ke tempat lain.

Kebanyakan syarikat takaful kini sudah mempunyai aplikasi di telefon bimbit yang memudahkan anda mencari hospital panel yang berhampiran dengan anda.

Deposit ke hospital

Terdapat beberapa hospital yang memerlukan deposit sebelum anda dimasukkan ke wad hospital tersebut. Namun, ada juga hospital yang tidak memerlukan deposit. Oleh itu, semak dengan ejen takaful tersebut berkenaan polisi deposit ini.

Perkara ini bagi memudahkan anda untuk memilih hospital jika tidak mempunyai wang deposit secukupnya.

Baca : 5 punca yang menyebabkan sijil takaful anda menjadi mahal

Tempoh menunggu

Kad perubatan biasanya mempunyai tempoh menunggu mengikut jenis kemalangan dan penyakit. Selain tempoh menunggu, terdapat juga beberapa jenis tempoh yang penting seperti tempoh siasatan dan tempoh bertenang.

Maklumat berkenaan tempoh menunggu boleh dibaca di sini '3 jenis tempoh penting dalam takaful'

Sijil tidak aktif

Jika anda tidak buat bayaran sehingga satu tempoh yang ditetapkan, sijil perlindungan anda menjadi tidak aktif. Oleh itu, tanya ejen takaful anda berkenaan punca yang menyebabkan sijil takaful tersebut menjadi tidak aktif dan tidak boleh digunakan.

Jangan biarkan sijil anda menjadi tidak aktif kerana anda mungkin memerlukan manfaat kad perubatan ketika kecemasan. Apabila sijil perlindungan tidak aktif, anda terpaksa membuat sijil baru atau tempoh menunggu anda bermula dari awal semula.

1 Comments

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Previous Post Next Post