Ambil pinjaman peribadi untuk perbelanjaan harian. Ini puncanya

Image result for spend money from personal loan
Salah satu punca pengurusan kewangan seseorang itu menjadi semakin tidak terurus adalah kerana bermula dengan pinjaman peribadi walaupun dengan jumlah yang kecil. Bagi golongan yang makan gaji dan mempunyai penyata gaji, mereka adalah golongan paling mudah untuk mendapatkan pinjaman peribadi.

Pada awalnya, pinjaman peribadi ini bertujuan untuk mengurangkan beban dan membantu jika menghadapi masalah kewangan. Namun, pinjaman peribadi kini lebih meningkatkan beban peminjam dengan kadar faedah yang tinggi untuk tempoh yang lama.

Terdapat beberapa sebab kenapa masih ramai yang mengharap kepada pinjaman peribadi untuk meneruskan hidup mereka.

Hutang terlalu tinggi

Ketika masih muda, ramai yang ingin menambah hutang seperti kereta, kad kredit dan juga pinjaman peribadi. Cuba fahami situasi dibawah:

Gaji : RM2,000
Hutang kereta : RM500
Kos pemilikan kereta : RM500 (minyak, tol, dll)

Hanya dengan pinjaman kereta sahaja, anda sudah kehilangan 50% dari pendapatan anda. Ini tidak termasuk lagi perbelanjaan lain seperti sewa rumah, makan dan minum, duit kepada ibu bapa dan lain-lain lagi.


Apabila tiada baki yang tinggal pada setiap hujung bulan, pinjaman peribadi adalah salah satu pilihan yang boleh dilakukan. Oleh sebab itu, langkah awal anda dalam pengurusan kewangan sangat penting dan akan menentukan status kewangan anda pada masa hadapan.

Tiada pendapatan sampingan dan simpanan

Jika setiap bulan semua pendapatan hanya untuk perbelanjaan sahaja, anda akan menghadapi masalah jika berlakunya kecemasan seperti masuk ke hospital, kerosakan pada kereta atau telefon bimbit yang memerlukan kos yang tinggi.

Selain itu, pendapatan sampingan juga akan mengelakkan anda dari memohon pinjaman peribadi kerana pendapatan anda akan meningkat. Pada masa yang sama, simpanan anda juga akan meningkat. 

Tiada ilmu pelaburan

Pelaburan juga penting dan menentukan tahap kewangan anda. Individu yang membuat pelaburan adalah individu yang mempunyai lebihan wang setiap bulan. Tetapi, berbeza pula individu yang memohon pinjaman peribadi untuk membuat pelaburan. Ini adalah salah!


Pelaburan yang dimaksudkan di sini adalah pelaburan yang sah dan tidak memerlukan anda memohon pinjaman peribadi untuk melabur. Jika anda mempunyai ilmu berkenaan pelaburan, anda tidak akan begitu senang diperdaya oleh skim cepat kaya.

Berdasarkan beberapa kes penipuan skim cepat kaya sebelum ini, kebanyakan mangsa menggunakan pinjaman peribadi untuk melabur. Apabila skim tersebut tersangkut, individu tersebut terpaksa membayar semula pinjaman peribadi dan tidak mendapat keuntungan dari pelaburan tersebut.

Apabila ini berlaku, ramai yang mula terdesak untuk meneruskan hidup kerana terbeban dengan komitmen yang tinggi setiap bulan.

Tiada matlamat kewangan

Individu yang tidak mempunyai matlamat kewangan biasanya tidak memikirkan kesan apabila mengambil pinjaman peribadi. Trend mengambil pinjaman peribadi terutamanya penjawat awam yang mendapat kadar keuntungan yang rendah, semakin meningkat kerana tiada kesedaran dalam pengurusan kewangan.

Hutang pinjaman peribadi ini semakin teruk apabila individu tersebut terpaksa mengambil hutang yang baru untuk menutup hutang yang lama. Kesan buruk bukan sahaja kepada individu tetapi kepada ahli keluarga yang lain seperti isteri dan anak-anak yang turut sama menanggung hutang tersebut.


Oleh itu, elakkan mengambil pinjaman peribadi untuk sesuatu yang tidak penting kerana kesannya sangat berbahaya pada masa akan datang.

1 Comments

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Previous Post Next Post