5 tabung simpanan yang anda wajib ada

Image result for saving

Berapa yang perlu anda simpan sebulan?Adakah 10%, 20% atau 50% dari pendapatan yang anda terima?Setiap orang mempunyai matlamat kewangan yang berbeza. Jadi, jumlah simpanan yang perlu mereka simpan juga tidak sama.

Untuk membuat simpanan setiap bulan, perkara utama yang anda perlu lakukan adalah dengan menentukan matlamat bagi setiap simpanan. Contoh matlamat yang anda boleh buat adalah seperti perubatan, pelaburan, deposit rumah, melancong dan lain-lain lagi.

Namun, hanya beberapa jenis simpanan serta matlamat sahaja yang anda perlu utamakan supaya anda tidak tersilap langkah di kemudian hari. Kami kongsikan lima jenis tabung simpanan yang anda perlu ada.

Kecemasan

Tabung simpanan yang paling penting adalah tabung untuk kecemasan. Jumlah simpanan yang perlu anda simpan adalah tiga (3) bulan gaji anda. Ini bermakna, jika gaji anda adalah RM2,000 sebulan, tabung kecemasan ini memerlukan simpanan sehingga RM6,000.

Jumlah simpanan setiap bulan yang disarankan adalah sebanyak 10% dari gaji anda. Jika gaji anda adalah RM2,000 sebulan, anda hanya perlu simpan RM200 sebulan di dalam tabung kecemasan ini. Pada masa yang sama, anda memerlukan 30 bulan untuk menjadikan tabung kecemasan tersebut menjadi RM6,000.

Kenapa perlu ada tabung kecemasan?Tujuannya adalah untuk membantu anda ketika anda sedang keadaan yang memerlukan seperti kenderaan rosak, kehilangan barang berharga dan lain-lain lagi. Apa yang lebih penting lagi adalah tabung kecemasan ini mestilah mudah dicairkan dan boleh digunakan dengan cepat apabila anda memerlukannya.

Perubatan

Seterusnya, tabung perubatan juga satu simpanan yang perlu anda ada. Maksud perubatan disini adalah anda perlu mengambil pelan perlindungan dengan caruman antara 5% hingga 10% dari gaji anda. Jika anda bergaji RM2,000 sebulan, caruman yang digalakkan adalah antara RM150 hingga RM200.

RELATED: Takaful: Simpanan, pelaburan atau perlindungan?

Tabung simpanan atau pelan takaful ini penting supaya anda tidak terbeban dengan kos perubatan yang semakin meningkat. Tabung simpanaan perubatan ini juga dipanggil sebagai satu pelaburan terhadap diri sendiri. Anda melaburkan satu perlindungan terhadap diri anda supaya simpanan dan duit anda tidak habis digunakan untuk membayar kos perubatan yang tinggi.

Setiap syarikat takaful mempunyai pelbagai jenis produk yang memberikan manfaat yang berbeza mengikut kehendak pelanggan. Oleh itu, pastikan anda membuat bancian terlebih dahulu terhadap beberapa jenis pelan perlindungan yang ditawarkan.

Pelaburan

Tabung simpanan untuk pelaburan pula adalah bergantung kepada jenis pelaburan yang anda ingin sertai. Jika pelaburan seperti amanah saham atau ASB, anda boleh simpan 20% hingga 30% dari pendapatan anda kerana pelaburan ini mampu memberi pulangan yang baik.

Selain itu, jika anda mahu melabur dalam instrumen yang memerlukan satu modal yang besar seperti pelaburan hartanah, anda boleh jadikan tabung simpanan ini untuk mengumpul deposit awal iaitu sebanyak 10% dari harga rumah.

Anda perlu memiliki beberapa pelaburan untuk meningkatkan pendapatan anda sama ada melalui dividen atau sewa yang diterima.

Rumah

Memiliki rumah sendiri menjadi impian setiap orang. Namun, masalah harga rumah yang semakin mahal menjadi satu penghalang utama untuk mendapatkan rumah ini. Oleh sebab itu, satu tabung simpanan untuk dijadikan sebagai deposit rumah sangat penting untuk anda miliki.

Jika anda mahukan rumah yang mahal, jumlah simpanan yang perlu anda buat setiap bulan juga mestilah satu jumlah yang tinggi. Begitu juga sebaliknya. Jika anda boleh bermula lebih awal dengan membuat simpanan ini, anda berpeluang untuk memiliki rumah idaman anda dengan lebih cepat.

RELATED: 3 jenis pelaburan terbaik anda boleh buat untuk anak-anak

Jika mengumpul deposit untuk beli rumah sendiri terlalu tinggi bagi anda, anda boleh tukar tabung simpanan rumah ini menjadi tabung modal perniagaan. Untuk mulakan satu perniagaan, anda perlukan modal sebagai bahan pemasaran dan pemilikan produk.

Percutian

Ini adalah tabung terakhir yang patut anda miliki. Mungkin anda sudah penat dengan matlamat kewangan yang membuatkan anda sakit kepala memikirkannya. Oleh itu, anda boleh rehatkan diri dengan pergi bercuti di dalam atau luar negara.

Tabung simpanan ini sangat penting bagi memastikan hidup anda menjadi seimbang dan juga pada masa yang sama dapat melepaskan segala tekanan kerja.

Jika anda bekerja dengan majikan, anda bernasih baik kerana mempunyai simpanan KWSP untuk masa hadapan anda. Bagi mereka yang tidak mempunyai simpanan KWSP, mungkin boleh memikirkan untuk memiliki satu simpanan untuk kegunaaan hari tua mereka.

Post a Comment

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Previous Post Next Post