Nak beli rumah? Ini persediaan asas yang anda perlu tahu.



Sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah, terdapat beberapa perkara yang anda perlu fahamkan bagi mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari.

Terdapat beberapa kes sebelum ini dimana pembeli sendiri tersilap langkah sehingga menyebabkan kerugian beribu ringgit.

Oleh itu, sebelum anda ingin beli rumah idaman anda, kami ingin kongsikan beberapa perkara yang anda perlu faham sebelum beli rumah.


1. Kelayakan pinjaman

Proses jual beli rumah di Malaysia kebiasaanya akan menggunakan pinjaman perumahan melainkan anda seorang yang kaya. Rata-rata rakyat Malaysia memang tidak mampu untuk beli rumah secara tunai.

Dalam hal ini, kelayakan pinjaman sangat penting bagi menentukan sama ada pinjaman kita bakal diluluskan atau tidak. Jika pinjaman diluluskan, kita boleh teruskan niat untuk beli rumah. Namun, jika pihak bank tidak meluluskan pinjaman tersebut, terpaksa kita lupakan niat untuk beli rumah.

Antara faktor penting untuk menentukan kelayakan pinjaman perumahan adalah taraf gaji dan juga komitmen sedia ada dengan pihak bank. Apa yang perlu anda buat adalah pergi ke bank yang berhampiran, dan semak kelayakan dengan mereka untuk mengetahui jumlah harga rumah yang kita layak beli.



2. Rekod pinjaman

Antara sumber utama yang kita boleh lihat rekod pinjaman kita adalah melalui laporan Central Credit  Reference Information System (CCRIS). Laporan CCRIS ini akan menunjukkan setiap jenis hutang yang kita ada dengan pihak bank.

Apa yang lebih penting lagi, laporan CCRIS ini akan menunjukkan cara bayaran semula kepada pihak bank sama ada kita bayar tepat pada masanya atau sering bayar lewat. Jika anda sering bayar tepat pada masanya, rekod bayaran anda akan tertulis '0' yang menunjukkan tiada kelewatan bayaran.

Manakala jika anda sering bayar lewat, rekod bayaran tersebut akan tertulis bilangan bulan yang anda lewat bayar. Jika pihak bank melihat anda sering lewat bayar pinjaman sedia ada, pinjaman perumahan anda mungkin tidak akan lulus.


3. Tujuan beli rumah

Kebanyakan dari kita memang ingin beli rumah idaman untuk duduk bersama keluarga. Selain untuk duduk sendiri, pembelian rumah juga boleh digunakan sebagai satu alat pelaburan.

Jika anda beli rumah untuk duduk sendiri, ia mungkin lebih mudah kerana anda hanya perlu beli rumah yang anda idamkan. Hanya beberapa faktor seperti jarak dengan tempat kerja, keselamatan dan kemudahan awam yang perlu anda nilaikan.

Namun, jika anda beli rumah untuk dijadikan sebagai pelaburan, banyak faktor yang perlu anda lihat untuk memastikan pelaburan tersebut adalah berbaloi.



4. Simpanan

Pastikan anda mempunyai simpanan yang cukup sebelum berniat untuk beli rumah.

Simpanan tersebut akan digunakan untuk:
  1. Deposit rumah (10%)
  2. Peguam SNP (3%)
  3. Peguam bank (jika tidak masuk dalam pinjaman)
  4. Penilai (jika tidak masuk dalam pinjaman)
  5. Takaful/insuran (jika tidak masuk dalam pinjaman)
  6. Repair dan Renovation (jika ada)

Jika anda lihat perbelanjaan seperti di atas, kos yang diperlukan untuk beli rumah adalah tinggi. Oleh itu, simpanan memang sangat penting bagi melancarkan proses jual beli.

Selain itu, simpanan kecemasan juga amat penting bagi menampung bayaran bulanan kepada pihak bank jika sesuatu terjadi kepada diri anda. Anda juga perlu ambil kira jika interest rate  pinjaman perumahan tersebut naik kerana bayaran bulanan anda juga akan meningkat.


Sumber gambar

5. Faham proses jual beli rumah

Proses beli rumah bukan ambil masa dua atau tiga hari tetapi berbulan-bulan dan ada sesetengah kes terpaksa menunggu sehingga bertahun untuk selesai proses jual beli rumah.

Banyak faktor yang menyebabkan proses jual beli berjalan lancar atau akan terganggu. Oleh itu, anda sendiri perlu faham proses jual beli rumah dan memudahkan semua pihak bagi melancarkan proses tersebut.

Sebelum beli rumah, anda akan bertemu dengan ejen hartanah bagi memilih rumah yang anda idamkan. Selepas setuju, anda boleh buat bayaran tempahan tanda setuju dan kemudian membuat permohonan pinjaman perumahan kepada pihak bank.

Jika pinjaman perumahan sudah lulus, anda boleh tandatangan Perjanjian Jual Beli dengan peguam. Proses selepas itu akan dijalankan oleh peguam yang anda pilih. Pastikan anda berikan kerjasama kepada peguam anda.



6. Dokumen sokongan

Dokumen sokongan ini bagi memudahkan proses permohonan pinjaman perumahan dengan pihak bank. Pastikan anda sudah sediakan dokumen penting seperti berikut:

  1. Salinan kad pengenalan
  2. Salinan slip gaji untuk 3 bulan
  3. Penyata bank 3 bulan
  4. Penyata KWSP
  5. Simpanan seperti Tabung Haji atau ASB
  6. Surat pengesahan jawatan
  7. Borang EA
  8. Borang cukai
Dokumen tambahan mungkin berbeza bergantung kepada pihak bank. Pastikan anda sediakan dokumen penting tersebut bagi melancarkan proses permohonan pinjaman perumahan.






Previous Post Next Post