Beli saham Apple sebanyak $1 bilion. Ini 5 nasihat dari Warren Buffet



Warren Buffet adalah antara orang terkaya di dunia dengan anggaran kekayaan bernilai $65 bilion.

Baru-baru ini, beliau telah membeli saham dari syarikat teknologi terkenal iaitu Apple sebanyak $1 bilion.

Jom kita lihat 5 perkara yang kita boleh belajar dari hidup beliau.


1.  Fokus kepada minat anda

Warren Buffet adalah seorang yang gemar menggunakan strategi pelaburan jangka masa panjang. Kebanyakan saham yang beliau miliki, memberi keuntungan dalam jangka masa panjang.

Beliau juga pada mulanya tidak melabur di dalam syarikat teknologi, namun pada tahun 2011 beliau telah melabur di dalam syarikat IBM dan Verizon.

Dan lebih mengejutkan, baru-baru ini beliau telah melabur di dalam syarikat Apple.

Jika anda meminati sesuatu bidang pelaburan, fokus adalah satu perkara penting yang perlu anda buat. Jangan terlalu banyak melabur sehinggakan kita sendiri tidak mampu mengawal pelaburan kita.

Seperti Warren Buffet, beliau hanya fokus kepada pelaburan jangka masa panjang.



2. Pertahankan apa yang anda percaya

Sehingga tahun 2016, firma milik Warren Buffet iaitu Berkshire Hathaway kekal menjadi penyumbang terbesar cukai kepada negaranya.

Walaupun terpaksa membayar cukai yang banyak, ini tidak menghalang beliau untuk terus melakukan aktiviti yang beliau sendiri percaya boleh memberi keuntungan.

Apa yang kita boleh belajar di sini adalah walaupun banyak cabaran yang bakal kita tempuh, kita perlu percaya apa yang kita buat.

Sebab itu sangat penting untuk anda memahami setiap pelaburan yang anda lakukan kerana setiap pelaburan memang akan ada cabaran tersendiri.

Jika anda masih muda, banyak cabaran yang bakal anda tempuh dan jangan takut jika anda melakukan kesilapan.


3. Belajar dari kesilapan

Pelaburan pertama yang Warren Buffet buat adalah ketika beliau berusia 11 tahun. Pada masa itu, beliau telah beli saham yang bernilai $38 dan menjual semula pada harga $40 untuk mendapatkan keuntungan yang sedikit.

Walaubagaimanapun, saham tersebut telah meningkat nilainya sehingga $200 dan beliau sangat menyesal kerana telah menjualnya lebih awal.

Apa yang beliau belajar dari pengalaman tersebut adalah pelaburan saham perlukan kesabaran yang tinggi.

Dalam apa jenis pelaburan, anda memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Namun, masih ramai yang inginkan keuntungan dalam masa yang singkat sehinggakan ramai yang menyertai skim cepat kaya.




4. Jadikan dunia tempat lebih baik

Dengan kekayaan yang beliau ada sekarang, banyak bantuan dana telah disalurkan untuk manfaat orang ramai dari segi pendidikan, untuk orang muda, orang tiada tempat tinggal dan banyak lagi.

Beliau juga telah menyumbang sebahagian kekayaan beliau kepada Bill & Melinda Gates Foundation untuk tujuan amal.

Menjadi kaya sebenarnya adalah satu perkara yang baik jika anda mampu memberi kebaikan kepada orang ramai.

Anda mampu memberi bantuan kepada mereka yang lebih memerlukan.


5. Telus

Pada tahun 2012, ketika beliau telah menghidap kanser prostat tahap satu, beliau telah menulis surat kepada semua pemegang saham tentang tahap kesihatan beliau.

Walaupun surat tersebut akan memberi kesan kepada nilai saham syarikat, beliau tetap menyampaikannya dengan telus.

Selain itu, selepas kesihatannya kembali sihat, Warren Buffet juga telah memberitahu bahawa anak lelaki beliau akan menjadi penyambung legasi di syarikat miliknya.

Dalam melakukan sesuatu perkara, anda mestilah telus membuat keputusan kerana setiap yang anda buat akan memberi kesan kepada orang lain.

Walaupun anda mungkin akan di kritik, namun ia lebih baik kerana anda sudah menyampaikan satu perkara yang benar.


Semoga kita dapat belajar sesuatu dari kisah hidup Warrent Buffet.




Previous Post Next Post