Sang 'Kapitalis' Punca Harga Rumah Semakin Mahal?

straitstime.com
Aktiviti pelaburan hartanah sering di label sebagai satu aktiviti yang menyebabkan harga rumah semakin mahal.

Mereka yang terlibat dalam pelaburan hartanah ini sering dilabel sebagai kapitalis kerana di anggap mengambil kesempatan terhadap orang lain yang susah dan lebih memerlukan rumah.

Hari ini, ramai yang mengeluh kerana harga rumah semakin mahal dan bank semakin susah untuk luluskan permohonan pinjaman perumahan mereka. Lebih perit lagi, sewa rumah pula semakin hari semakin mahal atas keuntungan yang ingin diambil oleh tuan rumah.

Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu kita faham sebelum kita menuduh mereka yang beli banyak rumah itu sebagai kapitalis.

1. Pendapatan Pasif

Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat seperti kenaikan harga petrol, pengenalan cukai GST dan lain-lain kos menyebabkan pendapatan kita seolah-olah semakin sedikit.

Ini realiti yang perlu kita faham kerana setiap dari kita tidak terlepas dengan kenaikan kos sara hidup.

Cuma, anda perlu mencari peluang untuk menambah pendapatan bagi menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup. Salah satu punca pendapatan tambahan yang mungkin memberi manfaat adalah melalui pelaburan hartanah.

Mereka yang terlibat dalam hartanah semuanya mahukan pengurusan kewangan yang baik dan masa depan yang lebih baik tanpa masalah kewangan.

Terlalu fokus kepada dunia atau wang?

Ini apa yang orang ramai fikirkan terhadap pelabur hartanah di mana mereka semua terlalu kejar dunia dan wang. Realitinya, orang seperti inilah yang memberi sumbangan kepada orang awam seperti memberi sewa rumah, bayar zakat, bayar cukai dan mereka juga mempunyai tanggungjawab masing-masing terhadap diri dan keluarga.

Jika anda fikir mereka terlalu pentingkan diri sendiri, anda patut lihat dan fikir apa yang akan terjadi sekiranya mereka tidak terlibat dalam pelaburan hartanah.

Siapa yang akan menguasai pasaran hartanah? Fikirkan.


2. Aset hari tua 

Mungkin anda masih tidak nampak apa yang terjadi kepada kebanyakan generasi kita sekarang. Mereka mengeluh kerana tidak mampu memiliki rumah.

Kenapa?

Kerana harga rumah yang semakin mahal. Cuba bayangkan jika generasi terdahulu sudah menyediakan seorang anak dengan satu rumah. Apa perasaan anda ketika ini? Gembira.

Hari ini tugas anda

Anda perlu ambil tanggungjawab ini pula terhadap generasi akan datang. Jangan di ulang kesilapan terdahulu.

Sediakan rumah untuk anak anda supaya mereka tidak terkesan dengan kenaikan harga rumah pada masa akan datang. Harga rumah akan tetap naik pada masa akan datang.

Jika anda tidak mahu fikir tentang generasi masa hadapan, jangan halang orang lain galas tanggungjawab tersebut.

3. Kuota bumi masih banyak belum terjual

Inilah statistik yang merisaukan kebanyakan pelabur hartanah. Ya, mereka risau kenapa masih banyak unit bumi masih belum terjual.

Sehinggakan pemaju sendiri terpaksa memohon unit bumi tersebut untuk dijual kepada non-bumi. Sedangkan majoriti penduduk di negara kita sendiri majoritinya adalah bumi.

Di mana silapnya?

Hari ini, mereka yang di gelar kapitalis itu cuba untuk membeli unit bumi tersebut bagi mengelakkan ia dijual kepada non-bumi.

4. Ilmu

Bila trend pemilikan hartanah oleh golongan muda baru-baru ini menjadi bualan hangat, ia adalah satu petanda yang bagus.

Ini menunjukkan mereka sudah mula menguruskan kewangan mereka dengan baik. Mereka tidak mulakan hidup dengan pelbagai hutang seperti kereta, pinjaman peribadi, kad kredit dan lain-lain lagi.

Bagaimana mereka bermula?

Ilmu. Hanya jika anda mempunyai ilmu kewangan, anda boleh bermula dengan pelaburan hartanah.

Nampak mudah bagi mereka untuk beli 3-4 biji rumah. Itu apa yang anda lihat selepas mereka berjaya beli rumah.

Adakah anda lihat apa yang mereka lakukan sebelum mereka berjaya beli rumah?
1. Mereka mungkin hadir ke seminar berbayar.
2. Mereka mungkin habiskan masa mereka dengan membaca buku.
3. Mereka buang masa malam mereka berjumpa dengan rakan-rakan hartanah.
4. Mereka gunakan masa mereka untuk buat research sesuatu kawasan.
5. Mereka tahan nafsu mereka daripada kereta yang mahal dan pinjaman peribadi.
6. Mereka pening uruskan masalah penyewa yang mempunyai masalah untuk bayar sewa

Mereka bersusah dahulu sebelum berjaya beli rumah kerana mereka ada ilmu dan matlamat.
Dan pada masa yang sama, mereka juga lah yang berusaha memberi ilmu kepada anda semua.

Jadi, anda masih rasa mereka kapitalis?



Previous Post Next Post