Bolehkah Hartanah Bercagar Dihibahkan? Ini Ulasan Penuh Untuk Panduan Anda


Jika anda mempunyai rumah yang masih lagi mempunyai baki pinjaman dengan pihak bank, adakah rumah tersebut boleh dihibahkan?

Untuk menjawab persoalan tersebut, boleh baca perkongsian dari tuan Ahmad Termizi melalui Facebook beliau.

1. Oleh sebab terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ tentang hibah hartanah bercagar, kita tidaklah boleh mendabik dada mengatakan bahawa hibah hartanah bercagar adalah sah sepenuhnya.

2. Dakwaan yang mengatakan bahawa hibah hartanah bercagar adalah sah sayugia dilapik dengan kenyataan bahawa ianya sah berdasarkan mazhab Maliki dan Hanafi.

3. Walau bagaimanapun hibah hartanah brecagar adalah tidak sah bagi mazhab Syafie, dan Hambali.

4. Perkara ini menjadi lebih kelabu apabila badan perundangan di negara kita juga lembab dalam menangani isu hibah ini.

5. Kita tiada contoh statut hibah untuk digunapakai di negara kita baik dalam bentuk akta mahupun enakmen.

6. Nampaknya pemimpin politik di negara kita lebih suka mencari glamour dalam isu perundangan Islam yang lain seperti Akta 355, dan pelaksanaan hukuman hudud dan qisas yang terlalu komplikated teknikalitinya.

7. Saya juga tertanya-tanya apalah sangat istimewanya hibah takaful sehingga ia disebut dalam statut secara jelas, walhal hibah hartanah bercagar juga tidak kurang pentingnya.

8. Pengkanunan undang-undang dalam hal ini patut menjadi prioriti pemimpin Islam di negara kita hari ini.

9. Kita juga tidak boleh berpegang kepada keputusan mahkamah syariah semata-mata kerana nature keputusan mahkamah syariah itu tidak mengikat hakim syarie yang lain.

10. Setiap hakim syarie bebas untuk berijtihad dalam setiap kes yang dibawa di hadapan mereka, tanpa terikat dengan keputusan hakim syarie yang lain.

11. Jadi, hakim syarie adalah selama-lamanya bebas sama ada mahu mengikut mazhab yang mana yang dirasakan lebih adil kepada pihak-pihak dalam memutuskan kes di hadapan mereka, selagi tiada statut yang mengikat tangan dan kaki mereka.

12. Tidak ada konsep judicial precedent di mahkamah syariah, tidak seperti yang diamalkan di mahkamah sivil.

13. Setakat ini, para mufti di negara kita juga belum mengeluarkan apa-apa fatwa mengenai hibah hartanah bercagar bagi panduan kita.

14. Saya tidak suka mengkritik para mufti yang saya hormati.

15. Jadi, saya menyokong sebarang usaha dari mana-mana pihak supaya boleh menerangkan kepada para mufti tentang peri pentingnya fatwa mengenai perkara ini.

16. Kalau permainan Pokemon-Go pun kita ada panduan, apatah lagi tentang hibah hartanah bercagar yang pastinya lebih dan teramat penting panduannya untuk kita.

17. Dari segi pemain industri dalam bidang ini, hanya Wasiyyah Shoppe Berhad sahaja yang terlebih berani mempromosikan produk hibah hartanah bercagar.

18. Alasan mereka mungkin untuk menggalakkan masyarakat muslim menggunakan produk hibah hartanah bercagar sebagai alternatif terbaik bagi solusi perancangan pusaka umat Islam.

19. Institusi-institusi lain seperti Amanah Raya Berhad, as-Salihin Trustee Berhad, MyAngkasa Amanah Berhad, dan lain-lain masih memilih untuk tidak menyediakan produk hibah hartanah bercagar.

20. Alasan mereka adalah mungkin kerana produk hibah hartanah bercagar masih mengandungi risiko untuk tidak disahkan oleh mahkamah syariah menjadikannya satu produk yang tidak berkuatkuasa.

21. Apa pun alasan mereka baik yang wujudkan produk, atau yang tidak wujudkan produk berkaitan hibah hartanah bercagar, saya amat menghormati keputusan panel-panel syarie syarikat-syarikat amanah gergasi ini.

22. Para peguam syarie sememangnya bebas untuk menyediakan dokumen tentang hibah hartanah bercagar.

23. Peguam syarie tidak perlu lancar apa-apa produk.

24. Perkhidmatan peguam syarie adalah berdasarkan arahan anakguam selepas dinasihati oleh peguam syarie.

25. Harapnya peguam syarie selepas ini boleh memberikan nasihat yang wajar kepada anakguam mereka tentang hibah hartanah bercagar.

26. Saya secara peribadi menyokong agar dokumentasi hibah hartanah bercagar ini digalakkan berdasarkan situasi masyarakat Islam akhir zaman sekarang yang boleh dikatakan tidak boleh lepas dari membuat hutang dalam membeli hartanah.

27. Dalam masa yang sama, masyarakat perlu dicelikkan tentang status khilaf ulama’, dan status perundangan di negara kita sebelum hibah hartanah bercagar didokumenkan supaya pemberi dan penerima hibah benar-benar faham akan kedudukan dan kesan hibah hartanah bercagar.

28. Dalam sesuatu isu yang khilaf, saya berpendapat, kita hendaklah bertindak dan memilih pandangan ulama’ yang bersesuaian dengan keadaan masa dan juga tempat kita agar dapat mengelakkan berlaku permasalahan terutama dalam masalah harta terbeku.

29. Mungkin juga pihak institusi kewangan sebagai pemegang cagaran boleh memperkenalkan satu mekanisma berbentuk keizinan kepada pemilik harta untuk membenarkan pemilik harta/pencagar membuat perancangan dan pengurusan ke atas hartanah bercagar melalui instrument hibah.

30. Para ahli akademik, dan pendakwah hendaklah terus berjihad dalam memberi kefahaman kepada masyarakat Islam tentang kepentingan perancangan dan pengurusan harta secara adil tanpa kepentingan mana-mana pihak.

31. Pihak-pihak yang mempunyai kuasa, gunakanlah kuasa yang ada bagi mencerahkan kekelabuan isu hibah hartanah bercagar ini.

32. Kelompangan undang-undang dalam isu hibah hartanah bercagar ini perlu diatasi sesegera mungkin.

Belajar sesuatu? Anda boleh pergi ke Facebook Tuan Ahmad Termizi untuk belajar banyak lagi ilmu tentang Hibah.

Comments

ANDA KONSULTAN KEWANGAN? (ASB, TAKAFUL, UNIT TRUST, DLL)