
Salah satu asas pengurusan kewangan adalah pelan perlindungan sama ada penggantian pendapatan (income replacement) atau perlindungan pendapatan (income protection).
Untuk income protection, salah satu alat yang boleh digunakan adalah kad perubatan yang boleh digunakan dihospital. Tujuannya, adalah melindungi pendapatan kita supaya tidak digunakan ketika dimasukkan ke hospital.
Bagi sesetengah individu, majikan mereka telah sediakan manfaat kad perubatan. Hasilnya, ramai individu yang tidak mahu mengambil kad perubatan individu kerana sudah mempunyai kad perubatan syarikat.
Berikut adalah sebab-sebab anda perlu ambil kad perubatan individu walaupun syarikat sudah sediakan kepada anda.
Tidak Selamanya Bekerja
#1 Potensi dibuang kerja
Ketika ekonomi sedang tenat, ramai pekerja terpaksa diberhentikan kerana syarikat mahu jimat kos. Apabila diberhentikan, anda tidak boleh lagi menggunakan manfaat kad perubatan tersebut.
Jika anda dapat lihat, ramai pekerja dalam industri oil & gas diberhentikan kerana prestasi syarikat yang tidak menentu dan tidak mendapat keuntungan.
#2 Pindah kerja pilihan sendiri
Jarang anda dapat lihat individu kekal lama dan bekerja untuk satu syarikat sepanjang hayat. Kebanyakan individu akan berpindah ke syarikat lain untuk menambah pengalaman kerja dan juga mendapatkan kenaikan gaji.
Kesannya, terdapat kemungkinan yang syarikat baru anda tidak menyediakan manfaat kad perubatan atau manfaat yang diberikan adalah lebih rendah.
#3 Bekerja sendiri
Jika tidak berpindah syarikat lain, anda mungkin pernah merancang untuk mulakan perniagaan sendiri.
Apabila bekerja sendiri, memang wajib ambil kad perubatan sendiri kerana tidak lagi mempunyai majikan yang akan membantu anda.
Syarikat kurangkan kos
Dulu, banyak syarikat besar yang memberi manfaat kad perubatan tinggi kepada staf mereka. Antaranya adalah tiada had untuk penggunaan kad perubatan dihospital.
Namun, untuk mengurangkan kos dan perbelanjaan syarikat yang semakin tinggi, syarikat telah menurunkan manfaat tersebut dengan had tahunan yang lebih rendah.
Manfaat rendah
Kebanyakan syarikat yang menyediakan kad perubatan kepada staf tidak mempunyai had tahunan yang tinggi. Purata had tahunan yang disediakan adalah antara RM20,000 hingga RM50,000.
Jumlah ini memang tidak cukup untuk menampung kos perubatan di hospital swasta bagi penyakit yang lebih serius atau kemalangan yang parah.
Tidak melindungi Penyakit Sedia Ada
Perbezaan antara kad perubatan individu dan syarikat adalah:
Individu - Tidak melindungi penyakit sedia ada
Syarikat - Melindungi penyakit sedia ada
Jika anda sudah menggunakan kad perubatan syarikat, penyakit sedia ada tersebut tidak akan dilindungi lagi oleh kad perubatan individu.
Sumbangan tinggi
Ramai individu yang berusia antara 55 tahun hingga 60 tahun merancang untuk mengambil kad perubatan kerana sudah tidak bekerja tetapi tidak mampu kerana sumbangan yang perlu dikeluarkan adalah tinggi.
Lebih parah, apabila anak-anak terpaksa menanggung kos tersebut dan pening untuk mencari kad perubatan yang lebih murah.
Jika kad perubatan diambil ketika masih muda, sumbangan yang perlu dikeluarkan adalah lebih rendah.