Kenapa pemilikan hartanah hari ini lebih sukar berbanding 10 tahun lepas? (bukan pelaburan)

Related image
Ramai yang tertanya-tanya kenapa permohonan pinjaman perumahan hari ini semakin sukar untuk diluluskan oleh pihak bank. Ada juga yang pening bagaimana untuk beli rumah sedangkan gaji sangat rendah.

Kesannya, semakin ramai yang tidak mampu beli rumah sendiri walaupun sudah bekerja untuk tempoh yang lama. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan kes seperti ini berlaku.

Berikut adalah antara sebab pemilikan hartanah hari ini lebih sukar berbanding 10 tahun lepas.

Kenaikan harga yang terlalu tinggi

10 tahun lepas, kerja setahuan sudah boleh mohon pinjaman perumahan untuk rumah teres yang berharga RM200,000. Hari ini, kerja setahun hanya boleh mohon pinjaman perumahan untuk rumah apartment berharga RM200,000.

Harga rumah meningkat dengan laju dan tidak selari dengan kenaikan gaji atau pendapatan yang diterima.

Purata harga bagi projek perumahan baru di Lembah Klang adalah bermula dari RM350,000 dan ke atas. Dengan harga tersebut, anggaran bayaran ansuran bulanan adalah RM1,700 sebulan.

Dengan gaji RM3,000 sebulan, masih tidak sesuai untuk beli rumah yang berharga RM350,000 sebulan kerana komitmen yang terlalu tinggi (tidak termasuk komitmen lain).

Kos sara hidup ganggu deposit

"Nak simpan setiap bulan pun susah, ini kan pula nak kumpul deposit beli rumah?'

Antara isu utama dalam pemilikan hartanah adalah deposit rumah yang tinggi. Deposit yang perlu dikumpul adalah sebanyak 10% tidak termasuk kos-kos tambahan lain. Jika rumah berharga RM300,000, anda memerlukan deposit sebanyak RM30,000.

Berapa lama tempoh anda perlu ambil untuk dapatkan RM30,000? Mungkin ambil masa tiga (3) hingga empat (4) tahun. Kes seperti ini antara punca utama ramai yang tidak mahu beli rumah.

Walaupun terdapat beberapa kaedah untuk kurangkan deposit seperti menggunakan simpanan KWSP dan diskaun dari pemaju, masih ramai yang sangkut dengan pinjaman dengan pihak bank.

Hutang selepas belajar

Untuk beli rumah hari ini, anda memerlukan pinjaman atau pembiayaan dari pihak bank kerana harga rumah yang terlalu tinggi. Melainkan anda mempunyai duit tunai yang banyak.

Hari ini, kebanyakan lepasan universiti sudah terbeban dengan hutang pendidikan yang banyak dan perlu dibayar setiap bulan.

Hutang seperti ini menyukarkan lagi individu untuk beli rumah kerana akan mengganggu anda untuk mengumpul deposit serta pada masa yang sama komitmen juga sudah tinggi (PTPTN masuk CCRIS).

Lebih ramai pelabur, lebih tinggi harga rumah

Walaupun tiada pelabur hartanah sekalipun, harga rumah akan tetap naik atas faktor permintaan yang tinggi. Cuma, peningkatan individu yang melabur dalam hartanah yang membantu mempercepatkan lagi kadar kenaikan harga rumah.

Sebab itu pelabur hartanah hanya fokus kepada rumah yang mempunyai permintaan yang tinggi sahaja. Ini kerana mereka akan mendapat keuntungan apabila harga rumah meningkat.

Bank semakin ketat

Ya, hari ini pihak bank telah mengetatkan lagi permohonan pinjaman perumahan sebagai langkah berjaga-jaga. Dengan ekonomi yang tidak berapa baik, kadar individu yang dibuang kerja telah meningkat.

Kes seperti dibuang kerja lebih merisaukan pihak bank kerana individu tersebut juga akan menghadapi masalah untuk membuat bayaran ansuran rumah mereka.


Post a Comment

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Previous Post Next Post