Bagaimana teori 'Karipap & Gaji' menerangkan keadaan sebenar ekonomi di Malaysia

Kita selalu dengar di televisyen yang ekonomi di Malaysia dalam keadaan yang baik dan rancak. Tetapi, anda sendiri merasakan ada yang tidak kena dengan ekonomi ketika ini.

Kos sara hidup semakin tinggi, peluang pekerjaan semakin sempit dan nilai matawang semakin rendah. Hari ini bawa RM50 ke pasaraya untuk beli barang makan dan minuman harian masih tidak mencukupi.

Teori 'Karipap & Gaji' akan menerangkan keadaan sebenar ekonomi yang sedang alami sekarang di Malaysia.

Kenaikan

Sepuluh (10) tahun lepas, harga karipap hanya RM0.20 seketul. Hari ini, anggaran harga bagi seketul karipap adalah RM0.50.

Jika anda lihat pada harga, kenaikan hanyalah sebanyak RM0.30 sahaja. Tetapi, jika anda kira kenaikan melalui peratus (%), kenaikan bagi harga seketul karipap adalah melebihi 100%!.

Berbeza dengan kenaikan gaji pula, sepuluh tahun lepas, gaji bagi seorang jurutera syarikat yang mempunyai lulusan ijazah (lepasan universiti) adalah sekitar RM1,500. Hari ini, masih adalah seorang jurutera yang mempunyai gaji permulaan sebanyak RM1,800.

Kenaikan peratus bagi gaji adalah sebanyak 20% sahaja.

Keadaan yang berlaku hari ini adalah kadar perbelanjaan meningkat dengan laju berbanding kadar pendapatan. Jika anda tinggal di Kuala Lumpur, gaji RM3,000 masih lagi digelar miskin bandar kerana kos sara hidup yang sangat tinggi.

Demand & Supply

Walaupun harga karipap semakin mahal, masih ada lagi yang membelinya. Pada masa yang sama, harga karipap meningkat naik kerana pembeli masih mampu untuk membelinya.

Konsep 'Demand & Supply' atau 'penjual dan pembeli' dalam kes ini menyebabkan proses peningkatan harga karipap berjalan lancar. Lebih menarik, dengan rasa dan saiz yang sama, karipap dapat dijual pada harga yang lebih tinggi jika dijual di hotel atau restoran mewah.

Dalam konsep gaji, walaupun majikan meletakkan gaji yang rendah, masih terdapat pemohon yang menginginkan pekerjaan tersebut. Begitu juga sebaliknya, disebabkan terdesak dan terlalu ramai yang ingin mendapatkan kerja, majikan mempunyai pilihan untuk menurunkan kadar gaji.

Walaupun anda dan rakan anda mempunyai ijazah dan pekerjaan yang sama, kenapa kedua-duanya mempunyai tahap gaji yang berbeza? Syarikat anda bekerja akan menentukan gaji anda. Jika syarikat anda bekerja mempunyai pendapatan yang tinggi, tiada masalah untuk mereka membayar gaji lebih kepada anda.

Sama konsep seperti karipap yang dijual di restoran mewah.

Buat masa ini, demand & supply di Malaysia bergantung kepada industri itu sendiri. Industri makanan masih lagi menjadi pilihan orang ramai kerana ia adalah perkara asas.


Pilihan 

Malaysia memang terkenal dengan kuih muih yang banyak dan pelbagai. Tetapi kenapa masih ramai makan karipap? sebab itu adalah salah satu makanan tradisi rakyat Malaysia yang popular. Walaupun harga yang diletakkan adalah tinggi, rakyat Malaysia tetap makan juga.

Selain itu, terdapat juga keadaan apabila anda terpaksa membeli 4 ketul karipap dengan harga RM2.00 walaupun anda hanya memerlukan 2 ketul sahaja. Ini bermaksud, anda sebenarnya terpaksa mengikut pilihan penjual.

Walaupun Malaysia adalah sebuah negara yang sedang membangun (sepatutnya peluang pekerjaan adalah banyak), masih ramai yang sukar untuk mencari kerja. Oleh itu, terdapat keadaan apabila majikan terpaksa mengambil seorang pekerja untuk melakukan pekerjaan yang lebih.

Senang cerita, seorang pekerja hari ini terpaksa melakukan dua orang punya kerja. Tujuanya adalah supaya majikan dapat menjimatkan kos perbelanjaan syarikat. Selain itu, ada juga industri yang memaksa pekerja bekerja lebih masa tanpa ada bayaran tambahan.

Ada cara

Disebalik kenaikan harga karipap, anda juga boleh dapatkan karipap tersebut dengan percuma. Bagaimana? Pergi ke jamuan atau kenduri kerana mereka masih menyediakan karipap sebagai salah satu makanan wajib.

Untuk jimat lagi, anda boleh belajar sendiri buat karipap dan makan seberapa banyak yang anda suka.

Dalam pekerjaan sekarang, jika anda mempunyai 'orang dalam' atau referral, sangat mudah untuk dapat kerja dengan gaji yang menarik. 

Lagi baik lagi, jika anda tambah skil, ilmu pengetahuan dan pengalaman untuk menarik minat bakal majikan anda. Melalui cara ini, anda boleh meminta gaji seperti yang anda inginkan kerana mereka perlukan orang seperti anda.

Akhir sekali jangan jadi seperti karipap 'oksigen', luar besar tetapi dalam kosong. Pastikan diri anda dipenuhi dengan ilmu-ilmu yang boleh memuaskan orang lain.

Post a Comment

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Previous Post Next Post