Kerja kuat untuk tambah aset, pelaburan dan pendapatan tetapi tiada perlindungan? Ini risiko yang anda perlu tahu


Masa muda, anda bekerja keras untuk tambah pendapatan, aset dan juga pelaburan anda. Kerja lebih masa, buat kerja sampingan, berjimat cermat dan banyak lagi yang telah dilakukan.

Tujuannya adalah untuk mendapatkan lebih banyak pendapatan dan juga untuk bersara lebih awal. Selain itu, anda juga bekerja keras bagi memastikan anda tidak akan mempunyai masalah kewangan pada masa akan datang.

Namun, masih ramai yang terlupa untuk melindungi pelaburan, aset serta pendapatan mereka. Kesannya, banyak aset yang terpaksa dibekukan, pelaburan yang terhenti dan juga pendapatan yang tiada ganti.

Berikut adalah perkara yang anda perlu tahu untuk melindungi aset, pelaburan dan pendapatan anda.

Lindungi aset

Anda mempunyai banyak aset seperti rumah? Mungkin rancangan awal anda adalah untuk diwariskan kepada anak dan keluarga anda. Anda juga berharap agar anak-anak anda akan rasa bahagia apabila menerima rumah tersebut.

Kecairan aset (liquidity)

Jika anak-anak anda masih kecil, mereka lebih memerlukan wang sebagai perbelanjaan untuk menampung kos makan minum, yuran persekolahan dan lain-lain lagi.

Mereka mungkin terpaksa menjual rumah tersebut untuk mendapatkan duit tersebut. Tetapi, anda perlu tahu bahawa proses untuk menjual rumah tersebut mengambil masa yang sangat panjang.

Salah satu fungsi perlindungan aset anda adalah supaya anak-anak anda tidak terbeban jika proses pindah milik aset tersebut mengambil masa tempoh yang lebih panjang. Melalui perlindungan ini, anak-anak anda akan menerima sejumlah wang pampasan untuk meneruskan hidup mereka.

Sistem faraid atau pilihan sendiri

Apabila anda meninggal dunia, semua aset yang anda tinggalkan akan diberikan kepada waris mengikut sistem faraid.

Untuk sistem faraid, anda boleh baca artikel ini 'Cara kira faraid bagi pembahagian harta pusaka'

Anda sebenarnya mempunyai pilihan untuk berikan ‘aset’ anda kepada orang yang anda ingin miliki iaitu melalui konsep hibah. Sebagai contoh, jika nilai aset anda bernilai RM1,000,000, anda boleh letakkan nilai hibah tersebut dengan jumlah yang sama dan berikan kepada anak anda mengikut jumlah pilihan anda sendiri.

Penggantian pendapatan

Apabila anda bekerja keras untuk meningkatkan lagi pendapatan, anda juga terdedah dengan risiko masalah kesihatan. Ini dapat dibuktikan pada hari ini apabila ramai golongan muda yang sudah menghidap penyakit yang serius dan kritikal.

Ini adalah kerana gaya hidup yang tidak seimbang dan terlalu fokus terhadap kerjaya.

Diberhentikan kerja atas masalah kesihatan

Jika anda menghidap masalah penyakit kritikal, anda mungkin terpaksa mengambil cuti untuk tempoh yang lebih panjang untuk dapatkan rawatan dari pihak hospital.

Sesetengah syarikat mempunyai polisi 3-3-6 untuk kes seperti ini. Maksudnya, anda akan diberikan gaji penuh untuk 3 bulan pertama, gaji setengah bulan untuk 3 bulan seterusnya dan cuti tanpa gaji pada 6 bulan berikutnya. Selepas itu, anda akan diberhentikan serta merta.

Apabila ini berlaku, anda akan kehilangan punca pendapatan anda dan ketika ini penggantian pendapatan akan membantu anda serta merta.

Perlindungan yang mencukupi akan membantu anda untuk meneruskan hidup tanpa mengalami masalah kewangan. Untuk dapatkan jumlah perlindungan yang mencukupi, dapatkan nasihat dari ejen yang berdaftar.

Capai matlamat pelaburan walaupun tidak sihat

Pernah dengar melabur RM300 sebulan selama 30 tahun, pelaburan anda akan menjadi RM1,000,000. ‘Jumlah besar’ ini boleh terjadi jika anda:

  • Melabur setiap bulan tanpa tertinggal satu bulan
  • Tidak mengeluarkan pelaburan anda untuk tempoh 30 tahun

Tetapi, bagaimana jika anda mengalami masalah kewangan atas faktor kesihatan? Adakah anda masih mampu untuk meneruskan dua (2) perkara penting di atas?

Ramai yang terpaksa berhenti melabur kerana mengalami masalah kesihatan dan juga terpaksa mengeluarkan pelaburan mereka untuk menanggung kos perubatan. Kesannya, matlamat pelaburan untuk mendapatkan RM1,000,000 selepas 30 tahun tidak dapat diteruskan.

Dengan perlindungan pelaburan, anda masih mampu meneruskan matlamat kewangan anda walaupun mengalami masalah kesihatan.

Post a Comment

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Previous Post Next Post