5 tip pengurusan kewangan buat mahasiswa

Image result for managing money

Hidup dalam zaman kemelesetan ekonomi pada hari ini memang sangat sukar. Kewangan menjadi masalah utama yang membelenggu hidup ketika ini. Mana tidaknya, dalam semua perkara yang dilakukan memerlukan duit, masuk tandas sekalipun perlu bayar.

Golongan yang paling merasai beban kewangan ini sebenarnya adalah golongan mahasiswa ataupun penuntut-penuntut IPT. Berbeza dengan golongan yang sudah bekerja semestinya sudah memiliki gaji tetap dan lebih banyak berbanding elaun ataupun PTPTN yang diperolehi mahasiswa.

Mahasiswa bukan sahaja perlu memikirkan tentang barangan keperluan serta makan dan minum, perkara lain yang perlu difikirkan juga adalah barangan-barangan keperluan belajar yang lain seperti buku dan sebagainya. Tambahan pula harga buku di peringkat IPT adalah mahal.

Jika tidak menguruskan kewangan dengan baik, mahasiswa akan mengalamai masalah kewangan yang teruk. Masalah kewangan ini sedikit-sebanyak akan menjejaskan prestasi mereka dalam pembelajaran. Oleh yang demikian, mahasiswa perlulah bijak merancang kewangan dalam perbelanjaan seharian. 

Di sini, saya akan kongsikan lima tips yang agak mudah untuk membantu mahasiswa dalam membuat pengurusan kewangan yang bijak.

1. Bijak Memilih Kedai Makan.
Hidup sebagai penuntut universiti sememangnya memerlukan kita untuk makan di luar. Jarang sekali bagi mahasiswa untuk masak sendiri atas pelbagai sebab. Makan di kedai sebenarnya memerlukan lebih banyak kos berbanding masak sendiri. 

Oleh sebab itu, mahasiswa perlulah bijak memilih kedai makan yang menawarkan makanan dengan harga yang murah. 

Tidak perlu sebenarnya makan di kedai makan yang mewah. Cukuplah di kedai yang makanannya sedap dan harganya berpatutan. Dengan memilih kedai yang menawarkan harga berpatutan, sedikit sebanyak duit dapat dijimatkan.

2. Simpanan Perlu Ada
Walau apa keadaan sekalipun, simpanan mestilah dibuat untuk kesenangan mahasiswa pada masa hadapan. Simpanan tidak perlu banyak sebenarnya. Cukuplah dengan kadar minima sebanyak 10 peratus daripada duit pinjaman ataupun biasiswa yang diperoleh.

Ramai dalam kalangan mahasiswa sebenarnya tidak menyedari betapa pentingnya wang simpanan ini. Wang simpanan inilah yang akan membantu kita pada masa hadapan.

Pepatah ‘sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit' amat sesuai digunakan dalam situasi ini.’ Biarlah wang simpanan kita sedikit namun lama-lama tanpa kita sedari wang tersebut akan mencapai jumlah yang banyak. 

Mungkin ramai juga yang tidak memahami perbezaan antara akaun bank simpanan dan akaun bank harian. Akaun bank harian adalah akaun bank di mana kita boleh keluarkan wang pada bila-bila masa yang diingini manakala akaun bank simpanan pula merupakan akaun yang tidak boleh sesekali kita usik. 

Cuba disiplinkan diri untuk tidak melakukan sebarang transaksi pengeluaran wang menggunakan akaun ini. Biarkan wang simpanan kita di dalam akaun tersebut untuk kegunaan masa hadapan.

3. Membeli-belah Dengan Bijak
Membeli-belah memang menjadi kegilaan remaja pada masa kini terutama sekali golongan perempuan. Tidak salah sebenarnya bagi mahasiswa untuk membeli-belah terutama sekali barangan yang memang diperlukan. Perkara yang salahnya ialah membeli-belah mengikut nafsu dan tidak membandingkan harga terlebih dahulu. 

Harga tidak menjaminkan kualiti sesuatu barang. Terdapat banyak barangan yang murah tetapi kualitinya sangat baik malah tidak rosak sehingga bertahun-tahun. Barangan seperti inilah yang mahasiswa sepatutnya beli.

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat sesetengah mahasiswa yang sangat mementingkan barangan berjenama. Tidak salah jika barangan tersebut harganya berpatutan tetapi jika terlalu mahal, lupakan seketika jenama itu. Kualiti dan harga lebih penting daripada jenama. 

Kadang-kala barangan terpakai ataupun bundle juga jauh lebih baik kualitinya. Harganya juga memang murah jika nak dibandingkan dengan barangan original di pasaran. Namun, ramai di antara mahasiswa yang tidak memakai barangan terpakai kerana bagi mereka barangan terpakai itu tidak mengikut trend.

4. Bezakan Keperluan Dan Kehendak
Dua perkara inilah yang mahasiswa selalu gagal bezakan sehingga menyebabkan mereka diruntun masalah ekonomi yang serius. Keperluan merupakan sesuatu yang sangat kita perlu manakala kehendak adalah sesuatu yang kita inginkan. Kita tidak akan diruntun masalah sekiranya kehendak kita tidak dipenuhi. 

Sebagai contoh, pada zaman ini penggunaan telefon pintar sangat penting dalam kehidupan mahasiswa. Setiap informasi dan pengumuman akan dimaklumkan oleh pensyarah menggunakan applikasi Whatssap dalam telefon pintar.

Dalam situasi ini, telefon pintar sudah menjadi keperluan di mana mahasiswa memang memerlukannya. Kehendak di sini pula ialah jenama telefon pintar tersebut. 

Ramai mahasiswa sangat menggemari jenama iPhone 7 yang baru dilancarkan. Inilah yang dipanggil kehendak. Harga iPhone 7 ini mencecah ribuan ringgit. Hal ini bakal menjejaskan ekonomi mahasiswa jika mereka menurut kehendak untuk memiliki telefon pintar jenama ini. 

Alternatif bagi perkara ini ialah mereka boleh membeli telefon pintar yang harganya murah tetapi masih memiliki applikasi Whatssap seperti telefon pintar jenama Samsung, Sony dan sebagainya.

5. Melancong Cara Backpackers
Apabila datangnya cuti semester, mahasiswa semestinya memikirkan untuk pergi melancong bagi melepaskan stress belajar sepanjang di IPT. Tidak menjadi kesalahan untuk pergi melancong kerana agama Islam turut menggalakkan umatnya melancong supaya dapat mendalami ilmu serta keinsafan. 

Dalam fikiran masyarakat kita, melancong sememangnya memerlukan kos yang tinggi. Tidak perlu risau tentang masalah itu. Melanconglah cara backpackers. Tidak perlu hotel mewah dan restoran mewah semasa melancong. 

Perkara yang lebih penting adalah setiap detik perjalanan semasa melancong itu. Malah dengan melancong cara backpackers, percutian kita akan lebih bermakna kerana kita akan dapat lebih banyak maklumat berkenaan tempat yang kita lawati itu. 

Sebagai contoh, menaiki kenderaan awam seperti bas. Kita akan akan bertanya masa bas itu bergerak, harga tambang dan sebagainya. Itulah ilmu baru yang kita akan peroleh.  Selain itu, tidak dapat dinafikan juga melancong dengan cara ini dapat mengurangkan banyak kos.

2 Comments

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Previous Post Next Post