Bagaimana untuk pilih takaful dengan betul dan sesuai dengan keperluan diri

Related image

Salah satu perkara yang perlu anda ambil untuk jangka masa panjang adalah produk kewangan untuk perlindungan atau lebih dikenali sebagai takaful. Fungsi sebenar takaful adalah sebagai perlidungan pendapatan dan juga sebagai pampasan kepada waris.

Berdasarkan soal jawab yang dilakukan, ramai yang mengambil takaful tetapi tidak faham berkenaan dengan manfaat yang mereka ambil. Lebih membimbangkan lagi, manfaat yang diambil juga terlalu rendah dan tidak sesuai dengan keadaan semasa.

Berikut adalah beberapa perkara yang anda perlu nilai terlebih dahulu sebelum mengambil takaful.

Jumlah pampasan

Terdapat dua jenis pampasan iaitu pampasan kepada diri sendiri dan pampasan kepada penama atau lebih dikenali sebagai hibah. Pampasan atau hibah ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan apabila ditimpa musibah.

Untuk memilih jumlah pampasan terbaik, anda perlu semak dahulu keperluan peribadi anda. Jika anda seorang ketua keluarga, anda memerlukan satu jumlah pampasan yang tinggi. Tujuan pampasan yang tinggi tersebut supaya keluarga yang sebelum ini mengharapkan kewangan dari anda mempunyai sumber pendapatan lain.

Berapa jumlah yang perlu anda ambil?

Jumlah gaji tahunan x 10 tahun
Contoh gaji RM3,000 sebulan : 

RM36,000 x 10 tahun = RM360,000

Namun, jika anda tidak mempunyai tanggungan yang ramai, anda juga boleh ambil pampasan untuk 5 tahun sahaja seperti berikut:

RM36,000 x 5 tahun = RM180,000

Jika kanak-kanak yang tidak bekerja, adakah perlu untuk ambil pampasan? Jawapannya adalah TIDAK. Mereka tidak mempunyai sebarang tanggungjawab kewangan. 


Kad perubatan

Selain pampasan, kad perubatan antara perkara penting dalam konsep perlindungan pendapatan. Tujuan anda mengambil kad perubatan ini adalah supaya anda tidak perlu mengeluarkan duit simpanan anda apabila dimasukkan ke hospital.

Oleh sebab itu, anda perlu memastikan kad perubatan anda mempunyai manfaat yang sesuai dengan keadaan ekonomi semasa seperti kenaikan kos perubatan. Ketika ini, kkos perubatan di Malaysia adalah antara RM100,000 hingga RM200,000 bagi penyakit kritikal biasa.

Perkara yang anda perlu tahu:

Limit tahunan

Terdapat beberapa produk takaful yang menawarkan limit tahunan yang tinggi sehingga RM1 juta. Jika hari ini ramai yang mengatakan jumlah RM1 juta tersebut terlalu tinggi dan membazir, anda perlu ingat bahawa anda ambil kad perubatan tersebut untuk jangka masa panjang.

Limit tahunan RM1 juta tersebut mungkin rendah nilainya selepas 20 tahun. Tujuan anda ambil had tahunan yang tinggi ketika muda adalah supaya caruman premium anda masih lagi rendah. Jika anda ingin ambil ketika selepas 10 tahun, premium tersebut mungkin terlalu mahal.

Namun, jika bajet anda masih rendah, pastikan had tahunan anda sekurang-kurangnya RM100,000 dan ke atas. Semak semula manfaat yang terdapat dalam sijil takaful anda dan pastikan had tahunan adalah tinggi.


Limit seumur hidup

Selain had atau limit tahunan, anda juga perlu semak had seumur hidup. Maksudnya, berapa banyak jumlah keselurahan kos perubatan yang boleh ditanggung oleh syarikat takaful seumur hidup anda. Sekali lagi, ambil had seumur hidup yang tinggi atau lebih baik lagi ambil produk yang menawarkan 'tiada had seumur hidup'.

Jika had seumur hidup adalah RM1 juta, ini bemakna anda hanya boleh tuntut RM100,000 selama 10 tahun sahaja. Selepas dari itu, syarikat takaful tidak lagi menanggung kos perubatan anda.

Pakej individu / pakej keluarga

Bagi individu yang masih lagi bujang, pakej individu adalah yang terbaik. Manakala bagi yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak, pakej keluarga sangat sesuai untuk premium yang lebih menjimatkan.

Kedua-dua pakej tersebut mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri. Bagi pakej individu, anda boleh letak manfaat kad perubatan dan hibah untuk setiap orang. Manakala pakej keluarga pula, anda hanya boleh letak manfaat kad perubatan untuk setiap orang dan manfaat hibah untuk nama sijil sahaja.


Simpanan / pelaburan

Dalam konsep takaful, tiada istilah simpanan kerana yang ada hanyalah pelaburan. Maksudnya, premium yang anda bayar tidak akan disimpan tetapi dilaburkan. Jika anda ingin melabur sambil mempunyai manfaat perlindungan, ambil produk yang betul serta menawarkan pulangan yang tinggi.

Produk yang mempunyai manfaat kad perubatan atau rider tambahan yang lain tidak sesuai untuk dijadikan pelaburan. Jika anda ambil pelan 3 dalam 1 yang memberi manfaat kad perubatan, pampasan dan pelaburan, jangan terlalu berharap kepada jumlah tunai yang anda akan terima semula.

Anda boleh tanya ejen takaful berkenaan produk yang sesuai untuk dijadikan pelaburan.

Post a Comment

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Previous Post Next Post