6 perkara 'bijak kewangan' yang anda boleh lakukan dengan bonus tahunan anda


Apabila musim hujung tahun, ramai yang akan terima bonus tahunan dari syarikat atau majikan tempat bekerja masing-masing. Namun, terdapat individu yang menerima bonus tahunan tersebut gagal untuk mengurus dengan baik duit yang diterima.

Berikut adalah beberapa cadangan dan perkara yang anda boleh lakukan dengan bonus tahunan anda.


Selesaikan hutang

Perkara pertama anda perlu lakukan apabila mempunyai lebihan wang adalah dengan menyelesaikan segala hutang anda. Sama ada hutang dengan pihak bank, hutang PTPTN, hutang kedai atau individu, hidup anda lebih tenang apabila tidak terbeban dengan hutang.

Bagi hutang yang melibatkan pelaburan, anda tidak perlu usik atau kurangkan hutang tersebut jika pinjaman atau pembiayaan tersebut masih menguntungkan.

Tambah pelaburan jangka masa panjang anda

Selepas berjaya menyelesaikan beberapa hutang, anda boleh mula merancang untuk mulakan pelaburan atau tambah pelaburan anda. Untuk pelaburan jangka masa panjang, fokus kepada dana persaraan dan dana pendidikan anak-anak.

Semakin banyak anda lakukan pelaburan untuk dana persaraan, semakin cepat anda boleh bersara. Dengan menggunakan bonus tahunan anda setiap tahun, dana persaraan anda lebih terjamin.

Baca : 6 habit buruk yang anda perlu hentikan pada tahun 2017

Tambah simpanan kecemasan

Jika sebelum ini anda hanya menyimpan tiga (3) bulan gaji sebagai simpanan kecemasan, kini anda boleh meningkatkan kepada enam (6) bulan pula. Semakin berusia, semakin banyak masalah yang anda bakal hadapi. Oleh itu, simpanan kecemasan ini boleh dijadikan sebagai satu dana yang akan membantu anda ketika anda memerlukan.

Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, anda juga perlu bersedia dengan segala kemungkinan yang boleh berlaku seperti dibuang kerja.

Tambah tabung untuk pembelian mahal

Tabung untuk pembelian mahal bermaksud satu tabung yang bakal digunakan untuk perbelanjaan yang besar terutama ketika musim perayaan dan musim masuk sekolah. Ketika itu, banyak perbelanjaan yang akan digunakan.

Tabung ini penting bagi mengelakkan masalah duit gaji habis hanya kerana perbelanjaan besar tersebut.

Baca : 6 nasihat kewangan untuk golongan siswazah 

Tambah ilmu 

Selain menambah pelaburan dan simpanan, anda juga perlu meningkatkan lagi ilmu pengurusan kewangan dan pelaburan. Anda boleh sertai pelbagai seminar atau jelas yang dianjurkan atau beli buku rujukan di kedai buku.

Buku rujukan tersebut juga boleh digunakan untuk mengurangkan cukai pendapatan anda. Lebih banyak ilmu yang anda belajar, semakin banyak idea pengurusan kewangan dan pelaburan yang anda boleh lakukan.

Tingkatkan pelan perlindungan anda

Ini juga masa terbaik untuk anda mengambil pelan perlindungan atau menyemak semula pelan perlindungan sedia ada. Jika sebelum ini jumlah pampasan yang anda ambil hanya RM100,000, anda boleh menambah jumlah tersebut kepada satu jumlah yang lebih besar sesuai dengan diri anda.


Selain pampasan, semak juga manfaat kad perubatan anda sama ada masih sesuai atau tidak dengan keadaan semasa. Anda juga boleh menggunakan bonus tersebut untuk membuat caruman untuk tempoh setahun bagi mengelakkan masalah caruman setiap bulan.

Post a Comment

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Previous Post Next Post