Masih tidak tahu untuk buat matlamat kewangan. Ini perkara yang anda perlu lakukan.


Perkara pertama yang anda perlu lakukan sebelum mahu mula melabur atau merancang kewangan anda adalah dengan menentukan matlamat kewangan. Namun, masih ramai yang tidak tahu matlamat yang perlu mereka capai.
Apabila setiap tindakan yang dilakukan tanpa matlamat yang jelas, kejayaan sukar untuk dicapai.
Berikut adalah beberapa perkara yang anda perlu tahu untuk memudahkan anda mengetahui matlamat kewangan anda.

Risiko

Semakin tinggi risiko yang anda ambil, semakin tinggi keuntungan yang anda boleh dapat. Ini adalah perkara asas dalam pelaburan. Sebelum memilih instrumen pelaburan sama ada melalui hartanah, unit trust, emas atau saham, fahami dahulu risiko yang terlibat.

Adakah anda mampu untuk terima risiko jika sesuatu berlaku terhadap pelaburan anda?
Contohnya, jika anda mahu melabur dalam hartanah dan mahu sewakan rumah anda, anda perlu tahu risiko jika rumah tersebut tidak dapat disewakan.

Jika anda masih boleh untuk membayar rumah tersebut kepada pihak bank, ini bermakna anda masih boleh mengawal risiko tersebut. Namun, apabila rumah tersebut tidak dapat disewakan dan anda sendiri terbeban dengan bayaran ansuran kepada pihak bank, itu menunjukkan anda tidak mampu untuk menanggung risiko tersebut.

Baca : 31 perkara yang anda perlu tahu sebelum melabur dalam hartanah

Sama juga seperti pelaburan saham, laburkan sejumlah wang yang anda sanggup rugi sahaja. Ini bagi mengelakkan anda rasa terbeban dan pengurusan kewangan anda terganggu jika anda mengalami kerugian.

Oleh itu, fahami dahulu risiko yang bakal anda hadapi dalam pelaburan, jika anda mampu untuk mengawal risiko tersebut, anda sudah boleh untuk membuat matlamat yang sesuai.

Keuntungan

Perkara yang paling diminati oleh orang ramai adalah pelaburan yang melibatkan keuntungan yang tinggi. Ramai yang buat keputusan untuk melabur kerana hanya melihat keuntungan yang bakal diterima semata-mata sahaja.

Jika anda mahu melabur, pastikan keuntungan yang diterima adalah melebihi 7% setahun. Ini kerana purata keuntungan bagi simpanan ASB adalah 7% setahun dan anda perlu dapatkan keuntungan melebihinya untuk menunjukkan pelaburan anda adalah berbaloi.

Jika ada pelaburan yang menawarkan keuntungan sehingga 30% hingga 50% setahun, anda perlu lebih berhati-hati dengan pelaburan tersebut.

Modal

Jika mahu melabur dalam segala jenis pelaburan, anda memerlukan modal yang cukup. Walaupun ada pelaburan yang menawarkan fasiliti pembiayaan sehingga 100%, anda masih memerlukan modal untuk menanggung kos tambahan atau yang berkaitan.

Sebelum merancang dan menetapkan matlamat, fahami dahulu jumlah modal awal yang diperlukan. Pelaburan yang baik biasanya memerlukan modal yang tinggi. Oleh itu, sebelum memilih jenis pelaburan yang anda ingin sertai, lihat dahulu modal awal yang diperlukan.

Adakah anda mampu sediakan modal untuk melabur dalam hartanah, saham, unit trust atau apa sahaja jenis pelaburan?

Sikap peribadi

Sikap peribadi anda juga memainkan peranan yang penting dalam memilih matlamat kewangan dan pelaburan yang baik. Tidak semua orang sesuai dengan semua jenis pelaburan atas faktor sikap peribadi yang menghalang.

Contohnya adalah pelaburan hartanah yang memerlukan anda untuk berhadapan dengan penyewa yang mempunyai pelbagai kerenah. Jika anda sendiri tidak mahu dan tidak mempunyai masa, anda mungkin tidak sesuai untuk melabur dalam hartanah yang memerlukan anda menyewa rumah tersebut.

Baca : Perbezaaan keuntungan simpanan ASB dan pembiayaan ASB

Selain itu, sikap mahu mendapat keuntungan yang cepat dan tinggi juga akan menyukarkan anda untuk membuat matlamat kewangan dan pelaburan. Anda perlu faham bahawa keuntungan melalui pelaburan adalah untuk jangka masa panjang manakala keuntungan perniagaan pula boleh diterima dalam masa pendek.

Ilmu

Akhir sekali adalah berkenaan dengan ilmu pelaburan. Kenapa ilmu kewangan dan pelaburan sangat penting?
- Dapat mengurangkan risiko pelaburan
- Dapat meningkatkan keuntungan pelaburan
- Memudahkan anda mendapatkan modal awal
- Membentuk sikap peribadi yang lebih positif

Bagi menentukan matlamat pelaburan anda, semak dahulu ilmu yang anda sudah miliki. Fokus kepada pelaburan yang anda mempunyai ilmu dan mampu untuk mengawal pelaburan tersebut. Semakin banyak ilmu yang anda ada, semakin mudah untuk anda membuat keputusan dalam pelaburan.

Sumber gambar 

Post a Comment

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Previous Post Next Post