Gaji tinggi tetapi hutang juga tinggi. Ini sebabnya.

Image result for high salary high debt

Kos sara hidup yang semakin tinggi menyebabkan kuasa membeli semakin berkurang. Dengan gaji RM3,000 dan tinggal di Lembah Klang mungkin tidak cukup jika pengurusan kewangan tidak dijaga dengan baik.

Namun, terdapat segelintir yang walaupaun bergaji tinggi, namun masih tidak cukup kerana hutang yang juga tinggi. Semakin tinggi gaji, semakin tinggi kos gaya hidup. Hutang yang diambil juga kebanyakannya terikat untuk satu tempoh yang lama seperti hutang kereta dan pinjaman peribadi.

Jika difikirkan, jika gaji sudah tinggi dan sepatutnya sudah cukup untuk menyara kos perbelanjaan tanpa memerlukan pinjaman dari pihak bank. Berikut adalah beberapa sebab kenapa masih ramai yang bergaji tinggi tetapi pada masa yang sama juga mempunyai hutang yang banyak.

Tiada matlamat

Matlamat kewangan. Apa yang anda mahukan dalam pengurusan kewangan anda?Matlamat kewangan yang perlu anda capai adalah seperti beli rumah pertama, tingkatkan pelaburan, simpanan kecemasan, pelan perlindungan takaful, kurang hutang.

Jika tiada matlamat, segala duit yang anda terima akan keluar dengan laju. Banyak perbelanjaan yang dikeluarkan untuk perkara yang tidak bermanfaat dan hanya untuk kepuasan peribadi sahaja. Selain itu, kegagalan merancang kewangan untuk menanti kehadiran ahli keluarga baru juga menjadi sebab utama hutang semakin meningkat.

Hari ini, terdapat ibu bapa yang terbebab dengan perbelanjaan persekolahan anak-anak terutamanya kepada ketua keluarga. Jika sebelum ini boleh perbelanjaan hanya untuk diri sendiri, ketua keluarga perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih untuk ahli keluarga yang ramai.

Kuasa membeli anak-anak lebih tinggi dari ibu bapa. Setiap yang di mahukan oleh anak-anak, sukar untuk ditolak. Oleh sebab itu, rancangan serta matlamat untuk jangka masa panjang adalah sangat penting untuk mereka yang mahu berkeluarga.

Jika yuran perbelanjaan sekolah anak-anak pun anda gunakan pinjaman peribadi atau kad kredit, anda sebenarnya mempunyai masalah pengurusan kewangan yang sangat kritikal.

Tiada simpanan

Tiada matlamat, tiada simpanan. Simpanan yang baik dan mudah untuk dilakukan adalah simpanan yang mempunyai matlamat tersendiri. Contoh matlamat simpanan adalah seperti kecemasan, pendidikan anak-anak, persaraan dan perubatan.

Apabila anda gagal mewujudkan simpanan ini, pinjaman peribadi dan penggunaan kad kredit menjadi pilihan terakhir. Pinjaman peribadi diwujudkan memang untuk membantu orang ramai yang mempunyai masalah kewangan. Tetapi, pinjaman peribadi hari ini menyebabkan individu tersebut mendapat masalah kewangan.

Baca : 'Saving' anda tetapi masih tidak cukup. Ini 5 tabiat menyimpan yang efektif

Jika gaji anda meningkat setiap tahun, jumlah simpanan anda juga sepatutnya meningkat. Langkah ini bagi memastikan anda tidak terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Selain itu, tanpa simpanan yang cukup juga menyebabkan individu terpaksa membuat pinjaman untuk menanggung kos perubatan yang semakin mahal.

Negara maju seperti Jepun sangat mementingkan pelan perlindungan seperti kad perubatan serta pampasan. Setiap dari mereka mempunyai lebih dari satu pelan perlindungan kerana wujudnya kesedaran yang tinggi berbanding negara Malaysia.

Tiada ilmu pelaburan

Masih ada golongan tertentu yang takut berbelanja untuk mendapatkan ilmu seperti beli buku, hadir ke seminar atau melalui pembelajaran secara personal coaching. Mereka takut kerana yuran yag dibayar tidak berbaloi dengan ilmu yang akan diterima.

Namun, bagi golongan yang berjaya, mereka pula sinonim dengan tabiat suka membaca buku dan hadir ke seminar untuk mendapatkan ilmu tambahan walaupun mereka sebenarnya sudah berjaya. Apabila tiada ilmu pelaburan, ramai yang masih takut untuk membuat pelaburan jangka masa panjang.

Jika gaji tinggi, tetapi masih tiada peruntukan untuk pelaburan setiap bulan walaupun kecil, itu adalah tanda-tanda awal masalah kewangan. Tidak dinafikan bahawa sekarang sudah banyak penipuan dengan penganjuran seminar yang dibuat semata-mata untuk mendapat keuntungan. Oleh sebab itu, anda perlu lebih berhati-hati dalam mencari ilmu.

Baca : Takaful : Simpanan, pelaburan atau perlindungan?

Percaya skim cepat kaya

Semakin tinggi gaji, semakin tinggi jumlah pinjaman peribadi yang anda boleh mohon. Sebab itu, ramai ahli skim cepat kaya mencari individu yang bergaji tinggi supaya mereka mudah memohon pinjaman peribadi.

Kebanyakan individu yang menyertai skim cepat kaya adalah kerana tidak mempunyai ilmu pelaburan, sudah mempunyai hutang yang banyak dan mahu menjadi kaya dengan cepat. Hanya dengan menjanjikan keuntungan yang cepat, ramai individu tersebut mula tertipu dengan skim tersebut.

Apabila skim tersebut sudah tutup atau diganggu oleh pihak berkuasa, ahli yang mempunyai pinjaman peribadi dengan pihak bank mula rasa terbeban kerana tidak dapat keuntungan seperti yang dijanjikan. Tidak mampu bayar kepada pihak bank, nama akan disenarai hitam dan tidak boleh memohon untuk pinjaman perumahan.



Post a Comment

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Previous Post Next Post