5 sebab 'golongan pertengahan' sukar untuk membuat simpanan

Image result for middle class people

Masalah kewangan yang dihadapi oleh 'golongan pertengahan' pada hari ini tidak semuanya berpunca dari kenaikan kos sara hidup. Walaupun pendapatan yang diterima adalah tinggi, 'golongan pertengahan' ini juga masih lagi mempunyai kesukaran untuk membuat simpanan sendiri.

Asas kepada masalah ini terjadi apabila perbelanjaan bulanan adalah sama seperti pendapatan yang diterima. Lebih teruk, apabila perbelanjaan melebihi dari pendapatan. Bagaimana mahu meneruskan hidup?Pinjaman peribadi dan kad kredit.

Faktor dibawah juga merupakan punca utama kenapa golongan pertengahan yang bergaji RM3,000 hingga RM8,000 ini masih sukar untuk membuat simpanan.

Gaya hidup

Sesetengah dari 'golongan pertengahan' ini mendapat pendapatan yang tinggi selepas tamat belajar. Mereka masih lagi baru dalam pengurusan kewangan. Dengan pendapatan yang diterima, mereka lebih gemar untuk membelanjakan sebahagian dari pendapatan yang diterima untuk kos gaya hidup.

Apa itu kos gaya hidup?Kereta yang mahal tanpa mengambil kira kos tersembunyi, kad kredit yang banyak atau pinjaman peribadi untuk pergi melancong. Apabila gaya hidup seperti orang kaya, banyak perbelanjaan yang tidak perlu terpaksa dikeluarkan dari poket tanpa sedar.

Itu tidak termasuk lagi perbelanjaan seperti smartphone yang mahal, pakaian mahal dari butik, makan di restoran lima bintang dan banyak lagi. Gaya hidup seperti ini bukanlah satu kesalahan. Tetapi, jika masih gagal membuat simpanan, berhenti meneruskan gaya hidup mewah ini.

Kawan
Siapa yang anda kawan hari ini akan menentukan diri anda pada masa akan datang
Pengaruh dari seorang kawan memang sangat kuat. Sebab itu, anda perlu pilih kawan yang berkualiti serta positif. Elakkan berkawan dengan orang yang sentiasa negatif dan gagal mengurus kewangan dengan baik.

Kebanyakan mereka yang membuat simpanan serta pelaburan juga mempunyai rangkaian kawan yang positif. Mereka yang positif ini penting dalam membantu kita terutama mendapatkan maklumat serta informasi yang tepat dalam pengurusan kewangan.

Awas. Kawan juga akan menjadi sebab anda menyertai pelbagai jenis skim cepat kaya. Anda juga boleh baca 'Akibat mahu 'menunjuk' kepada kawan, hutang semakin meningkat.'

Pinjaman 'jahat'

Pinjaman 'jahat' adalah pinjaman dari pihak bank yang menyebabkan pendapatan anda berkurang. Apabila pinjaman ini menyebabkan pendapatan anda berkurang, jumlah simpanan anda juga akan semakin berkurang atau tiada langsung.

Dengan gaji antara RM3,000 hingga RM8,000, anda menjadi golongan sasaran pegawai pemasaran atau jualan yang menawarkan anda pinjaman peribadi atau kad kredit yang menarik. Jika gagal untuk mengawal keadaan tersebut, anda mungkin mengambil pinjaman peribadi untuk tujuan yang tidak bermanfaat.

Pinjaman peribadi biasanya terikat sehingga 5 hingga 9 tahun. Ini bermakna, selama tempoh ini, anda mungkin sukar untuk membuat simpanan dan juga pelaburan. Apabila usia semakin meningkat, komitmen peribadi anda akan semaking meningkat seperti keluarga, kereta yang lebih besar, persekolahan anak-anak dan lain-lain lagi.
Tindakan yang anda ambil hari ini akan menentukan masa hadapan anda.
Tiada ilmu

Tidak sanggup keluar RM100 untuk mendapatkan ilmu tetapi sanggup habiskan RM1,000 untuk perkara yang tidak berfaedah. Ini adalah ciri-ciri awal yang membuatkan seseorang itu sukar untuk membuat simpanan.

Tanpa ilmu, anda mungkin terlepas beberapa perkara yang penting dalam pengurusan kewangan. Sebab itu masih ramai yang terpaksa membayar yuran 'kebodohan' hasil dari kesilapan sendiri yang mengambil tindakan tanpa ilmu. Apabila hutang sudah semakin meningkat serta gagal untuk membuat bayaran, baru sedar akan kepentingan ilmu dalam pengurusan kewangan.

Hari ini, anda mungkin terpaksa membayar perancang kewangan dengan satu jumlah yang mahal untuk menyelesaikan masalah kewangan anda.

Mengharap bantuan

Beli rumah -- mengharapkan kerajaan menawarkan rumah yang murah.
Beli kereta -- mengharapkan pihak bank memberi pinjaman 100%.
Yuran pendidikan anak -- mengharapkan pinjaman pendidikan.

Sudah tiba masanya untuk kita berhenti mengharapkan bantuan dari pihak lain tetapi fokus untuk meningkatkan taraf hidup sendiri. Jika masih mengharap, usaha anda untuk membuat simpanan sendiri adalah sangat sedikit. Berbanding jika anda tidak mengharapkan bantuan pihak lain, anda akan berusaha dengan lebih gigih untuk mengubah taraf hidup anda.

Semua bantuan itu harus diberi keutamaan kepada golongan rendah dahulu. Mereka yang bergaji kurang dari RM3,000 sebulan itu lebih memerlukan bantuan berbanding golongan sederhana.
Belajar juga bagaimana untuk 'buat duit melalui online' untuk meningkatkan taraf hidup.

Comments

ANDA KONSULTAN KEWANGAN? (ASB, TAKAFUL, UNIT TRUST, DLL)