3 jenis 'tempoh penting' yang ejen takaful wajib beritahu anda

Image result for time period

Kesedaran masyarakat Malaysia terhadap kepentingan Takaful semakin tinggi terutamanya dalam kategori Takaful Perubatan (Medical Card). Semua orang mahu dapatkan bilik rawatan yang selesa ketika dirawat di hospital. 

Kesesakan yang berlaku di hospital- hospital milik kerajaan serta kos perubatan yang tinggi di hospital swasta antara faktor utama orang ramai mahu memiliki kad perubatan sendiri. Lebih selesa dan menjimatkan. 

Pernah tak anda dengar pemegang polisi takaful tidak mendapat manfaat yang sepatutnya dari syarikat takaful?Baru-baru ini negara kita digemparkan dengan seorang ahli politik yang ingin menyaman sebuah syarikat takaful disebabkan tidak berpuas hati dengan servis yang diterima.

Hal seperti ini terjadi biasanya disebabkan oleh salah faham atau kurang pengetahuan tentang polisi yang diambil. Oleh itu, sebagai seorang pelanggan kad perubatan, anda harus tahu beberapa 'tempoh penting' yang wujud di dalam polisi anda secara am.

TEMPOH BERTENANG

Tempoh bertenang ini juga disebut sebagai cooling period. Tempoh sepanjang 15 hari ini bermula sebaik sahaja permohonan anda diluluskan oleh pihak takaful. Dalam tempoh ini, anda haruslah membaca dan memahami pelan takaful yang sudah anda ambil seperti yang tertulis di dalam buku polisi anda.

Jika anda tidak berpuas hati atau tidak bersetuju dengan mana-mana terma yang wujud di dalam buku polisi, anda berhak untuk membuat aduan kepada syarikat pengendali takaful seterusnya membatalkan polisi tersebut. Untuk makluman anda, caruman yang telah dibayar akan dipulangkan semula.

Sebelum ambil mana-mana kad perubatan yang ditawarkan, fahami dulu 'faktor-faktor penting dalam memilih kad perubatan.'

TEMPOH MENUNGGU


Tempoh kedua dan yang paling penting dalam polisi takaful anda ialah tempoh menunggu sebelum anda layak untuk menggunakan kad perubatan anda di hospital panel masing-masing. Secara amnya, kebanyakan pengendali takaful meletakkan 120 hari tempoh menunggu sebelum anda layak untuk menggunakan kemudahan ini.

Tujuan tempoh ini diwujudkan adalah untuk memastikan anda benar-benar sihat ketika memohon pelan takaful sekaligus mengelakkan cubaan menipu oleh peserta yang sudah ada penyakit-penyakit spesifik.

i) 0 hari

Sebaik sahaja polisi anda diluluskan, perlindungan untuk kes kemalangan terus berkuat kuasa, bermakna tiada tempoh menunggu diperlukan kerana kemalangan tidak mempunyai simptom.

ii) 60 hari

Apa-apa penyakit kritikal yang terbentuk dalam tempoh 60 hari, penyakit tersebut akan dikecualikan dan tiada bayaran manfaat yang boleh dituntut.

iii) 90 hari

Anda sudah boleh menggunakan kemudahan kad perubatan bagi tujuan rawatan dalam wad terhadap penyakit am seperti viral fever, bronchitis, diarhea dan beberapa jenis lagi.

iv) 120 hari

Perlindungan menyeluruh bermula untuk semua jenis penyakit dan kemalangan yang dibenarkan seperti yang tercatat dalam buku polisi.

Adakah takaful itu berbentuk simpanan, pelaburan atau perlindungan?

TEMPOH SIASATAN


Tempoh siasatan ini adalah selama dua (2) tahun selepas permohonan polisi anda diluluskan. Dalam tempoh ini, pihak syarikat berhak untuk menyiasat latar belakang kesihatan anda sekiranya terdapat unsur yang meragukan semasa membuat tuntutan. 

Sebagai contoh, jika anda baru sahaja memiliki polisi takaful selama enam (6) bulan tetapi sudah membuat tuntutan menghidap penyakit kanser tahap keempat (iaitu tahap yang kritikal), tuntutan anda akan ditolak. Hal ini kerana penyakit kanser tersebut sudah sedia ada sebelum permohonan takaful dibuat.

Oleh sebab itu, anda dinasihatkan supaya sentiasa menjaga dan mengambil tahu tahap kesihatan anda sebelum mengambil mana-mana polisi takaful. Semua syarikat serta produk takaful yang ditawarkan tidak akan memberi pampasan atau rawatan untuk penyakit yang sudah sedia ada.

Post a Comment

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Previous Post Next Post