Hanya untuk orang yang sudah 'rosak' kewangan?Ini fungsi sebenar AKPK.

Image result for akpk

Jika anda menghadapi masalah kewangan seperti hutang yang banyak, apakah yang perlu anda lakukan? Jawapan yang sering diberikan adalah berjumpa dengan Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK). Agensi ini sudah beroperasi sejak 2006 lagi untuk membantu orang ramai yang mempunyai masalah pembayaran hutang kepada pihak bank terutamanya.

Namun, masih ramai yang kurang faham tentang fungsi sebenar AKPK dan menganggap bahawa jika pergi ke AKPK bermakna mereka sedang menghadapi masalah kewangan yang teruk. Selain itu, ada juga yang menganggap bahawa AKPK akan menolong membayarkan hutang mereka.

Tahukah anda bahawa pihak AKPK bukan sahaja membantu jika anda sedang menghadapi masalah kewangan malah banyak lagi bantuan yang anda boleh dapatkan dari mereka.

Kaunseling kewangan

Jika anda mahu dapatkan nasihat kewangan secara peribadi, anda boleh mendaftar dengan pihak AKPK secara percuma sahaja. Anda boleh kongsi masalah kewangan yang anda sedang hadapi seperti bebanan hutang yang terlalu tinggi dan rancangan kewangan untuk masa hadapan.

Ramai yang hadir ke AKPK disebabkan oleh masalah kewangan seperti hilang punca pendapatan, hutang yang terlalu tinggi dan juga apabila menghadapi masalah nama sudah disenarai hitam oleh institusi kewangan. Jika anda dapat hadir ke AKPK untuk merancang kewangan anda, mungkin anda bebas dari masalah atau beban hutang pada masa akan datang.

Pihak AKPK tidak menggunakan orang tengah dan perkhidmatan juga adalah percuma.

Perkhidmatan percuma yang disediakan oleh AKPK ini juga membantu anda untuk membuat bajet kewangan, pengurusan kewangan dan perkara-perkara yang melibatkan hutang. Anda juga akan diajar untuk menguruskan hutang sedia ada dengan baik.
Pengurusan kredit - Debt Management Programme (DMP)

Melalui program ini, pihak AKPK akan membantu anda menyediakan pelan pembayaran semula pinjaman secara peribadi melalui rundingan dengan pihak penyedia perkhidmatan kewangan anda. Walaubagaimanapun, anda perlu tahu bahawa pihak AKPK tidak menyediakan pinjaman atau pembiayaan kewangan tetapi lebih kepada menstruktur pelan pembayaran anda.

Sebagai contoh, jika sebelum ini anda mempunyai hutang dengan tiga (3) institusi kewangan dengan jumlah bayaran semula RM2,000 sebulan, pihak AKPK akan membantu anda membuat pelan pembayaran semula dengan jumlah yang lebih rendah kepada mereka.

Syarat-syarat untuk menyertai program ini adalah:
  • Anda mempunyai sumber pendapatan yang positif
  • Jumlah pinjaman anda tidak melebihi RM2 juta
  • Anda tidak berada di bawah tindakan undang-undang
  • Anda tidak diisytiharkan sebagai 'muflis'
Untuk mengetahui maklumat lebih lanjut, sila rujuk sini AKPK
Pendidikan Kewangan

Melalui pendidikan kewangan, pihak AKPK juga menyediakan bahan-bahan rujukan kewangan seperti penggunaan kredit yang baik, asas pengurusan kewangan dan pengurusan kredit. Tujuan bahan rujukan ini disediakan adalah supaya orang awam lebih celik kewangan dan tidak terjerumus dengan masalah kewangan di kemudian hari.

Sebelum mula melabur, pelajari dahulu asas pengurusan kewangan.

Lebih menarik lagi apabila modul pendidikan yang disediakan oleh pihak AKPK adalah mengikut kesesuaian peringkat umur bermula dari peringkat pengajian tinggi, permulaan kerja, berkeluarga dan persaraaan. Selain itu, pihak AKPK juga aktif memberi ceramah dan taklimat untuk badan kerajaan, NGO, swasta dan lain-lain lagi.

Post a Comment

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Previous Post Next Post