Akibat hidup ingin 'menunjuk' kepada kawan. Hutang semakin meningkat.

Image result for impression

'Lepas kerja nanti nak beli kereta apa?' Ini adalah contoh soalan yang sering bermain di fikiran golongan muda selepas tamat belajar. Banyak perkara yang ingin di beli seperti smartphone baru, makan di restoran mewah dan juga pergi melancong.

Semuanya adalah sebagai ganjaran selepas tamat belajar. Namun, hidup di awal pekerjaan adalah permulaan hidup baru yang akan menentukan masa depan anda. Jika tersalah langkah, anda mungkin terpaksa menanggung beban yang banyak.

Ada di antara golongan muda yang berbelanja sesuatu semata-mata ingin menunjukkan gaya hidup yang mewah. Beli kereta mahal kerana tidak ingin 'kalah' dengan kawan yang lain tanpa melihat kewangan peribadi.

Kereta

Semua orang mahu kereta yang selesa dan mewah. Tawaran beli kereta tanpa desosit atau pinjaman 100% dari pihak menyebabkan ramai golongan muda yang mengambil langkah pertama mereka dengan membeli kereta.

Tidak salah beli kereta tetapi adakah kita mampu untuk bayar semua kos yang terlibat. Fungsi utama sebuah kereta adalah untuk membawa anda dari satu destinasi ke satu destinasi lain. Jika anda beli kereta semata-mata untuk menunjukkan kewawahan, ia adalah satu kesilapan awal dalam pengurusan kewangan.

Akibat mahu menunjukkan kemewahan tersebut, ada yang terpaksa membayar ansuran bulanan kereta 50% dari pendapatan yang diterima. Sebagai contoh, gaji hanya RM2,000 tetapi beli kereta import dengan bayaran bulanan RM1,000. Kos tersebut tidak termasuk lagi kos tambahan seperti petrol, tol, cukai jalan, insuran dan penyelenggaraan bulanan.

Apabila anda sudah tersilap langkah dengan membeli kereta yang tinggi ansurannya, anda terpaksa terikat dengan hutang tersebut untuk satu tempoh yang lama iaitu 5 hingga 9 tahun. Paling menyedihkan lagi apabila peluang anda untuk beli rumah pertama akan terganggu disebabkan oleh komitmen sedia ada yang terlalu tinggi.

Pakaian mewah

Sesetengah dari golongan muda akan mulakan hidup di awal pekerjaan dengan membeli pakaian yang mahal. Beli dari butik yang terkenal supaya kelihatan lebih mewah. Perbelanjaan seperti ini hanya menyebabkan anda gagal membuat simpanan yang banyak setiap bulan.

Kemudahan pembelian melalui internet juga menyebabkan perbelanjaan harian semakin meningkat. Tanpa rancangan kewangan yang kukuh, pendapatan yang diterima akan hilang tanpa dikesan disebabkan oleh perbelanjaan seperti ini.
Ramai orang kaya yang beli pakaian yang murah sahaja kerana mereka lebih menghargai duit mereka.
Iphone

Gaji RM2,000 tetapi beli smartphone yang berharga RM3,000. Ini merupakan kesilapan yang paling teruk dilakukan oleh anak muda. Melainkan smartphone tersebut membantu anda menambah pendapatan, ia adalah satu pembaziran.

Untuk beli smartphone yang mahal kini menjadi lebih mudah apabila fasiliti bayaran secara ansuran disediakan. Dengan hanya serendah RM150 sebulan, anda sudah boleh memiliki sebuah smartphone yang mahal. Ini adalah satu contoh perbelanjaan yang mengikut kehendak bukan keperluan.

Restoran mewah

Trend makan di restoran mewah ini menjadi ikutan apabila terlihat rakan-rakan berkongsi gambar tersebut di laman sosial seperti Facebook. Sebelum buat keputusan makan di restoran mahal, lihat dahulu kedudukan kewangan.

Makan di restoran mewah bukan kerana makanannya yang sedap tetapi lebih untuk mengambil gambar dan berkongsi di Facebook. Jika perkara ini terjadi kepada diri anda, anda perlu risau kerana hidup anda kini lebih untuk menunjuk kepada orang lain.

Anda juga boleh baca 'Gaji rendah tetapi masih lagi minum kopi mahal.'

Jika mahu makan di restoran mewah juga, buat satu tabung simpanan supaya kita tidak rasa terbeban dengan jumlah perbelanjaan yang banyak. Kini, makan di mamak sahaja pun sudah memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi.

Melancong

Laman sosial sekali lagi memainkan peranan yang besar dalam pengurusan kewangan kita pada hari ini. Keinginan untuk mendapatkan sesuatu atau melakukan sesuatu aktivit biasanya bermula selepas kita melihat ada orang lain berkongsi pengalaman mereka di Facebook.

Kerana terlalu teruja untuk pergi ke luar negara, ada yang sanggup guna pinjaman peribadi dan pinjaman dari kad kredit sebagai perbelanjaan mereka. Apabila ini berlaku, hobi anda kini menjadi beban kewangan dalam hidup anda.

Baca 'Susun gaji guna formula 40:30:30'

Post a Comment

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Previous Post Next Post