5 kesan apabila anda ambil pinjaman peribadi untuk majlis perkahwinan

Image result for wedding debt

Ingin berkahwin tetapi tidak cukup duit belanja untuk menampung kos majlis perkahwinan anda? Ini adalah salah satu masalah yang dihadapi oleh belia pada masa kini. Kerana inginkan majlis perkahwinan yang meriah, kos majlis perkahwinan kini menjadi lebih tinggi.
Kos perkahwinan pada hari ini adalah sehingga RM20,000 hingga RM50,000.
Namun, faktor kenaikan kos sara hidup juga sedikit sebanyak menyebabkan kos majlis perkahwinan menjadi lebih mahal. Oleh sebab itu, ada pasangan yang terpaksa mengambil pinjaman peribadi dari pihak bank semata-mata untuk membiayai majlis perkahwinan mereka. Walaupun bayaran ansuran kelihatan rendah setiap bulan, tindakan tersebut bakal mengubah status kewangan mereka untuk satu tempoh masa yang panjang.

Berikut adalah kesan-kesan yang akan terjadi terhadap diri anda apabila mengambil pinjaman peribadi semata-mata untuk menampung kos majlis perkahwinan anda.

Komitmen tinggi
Pinjaman peribadi merupakan satu alat yang 'membunuh' serta merosakkan kewangan anda tanpa anda sedar. Ini kerana bayaran ansuran yang dianggap rendah itu juga menyebabkan hidup anda akan terbeban untuk satu tempoh masa yang panjang iaitu 5 hingga 10 tahun.

Pada peringkat awal iaitu selepas majlis perkahwinan, anda mungkin tiada masalah untuk membuat bayaran semula kepada pihak bank kerana komitmen yang masih rendah. Namun, apabila anda sudah mula mendapat cahaya mata, pergi melancong atau beli perabot baru, bayaran ansuran yang sebelum ini dianggap sedikit mungkin akan membebankan hidup anda.

Apabila anda gagal membuat bayaran semula kepada pihak bank, nama anda akan disenarai hitam. Kes seperti ini sering berlaku di negara kita dan menyebabkan peminjam tidak boleh memohon fasiliti yang disediakan oleh pihak bank.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila si peminjam yang sudah disenarai hitam oleh pihak bank tadi mula menggunakan nama orang lain untuk mendapatkan atau memohon fasiliti bank seperti pinajaman rumah atau kereta.

Tiada simpanan
Selain bayaran ansuran yang menyebabkan poket anda 'bocor' setiap bulan, anda juga mungkin tiada simpanan kerana sudah terbeban dengan pinjaman peribadi tersebut. Salah satu sebab utama kenapa bakal pengantin mengambil pinjaman peribadi adalah kerana tidak mempunyai simpanan yang cukup.

Masalah tidak mempunyai simpanan tersebut akan berterusan selepas majlis perkahwinan atas faktor-faktor berikut:

1. Terpaksa mendahulukan hutang berbanding simpanan
2. Tidak mempunyai habit menyimpan dari dahulu
3. Tidak tahu kepentingan mempunyai simpanan

Sehingga hari ini, masih ramai yang tidak mempunyai simpanan yang cukup dan menyebabkan mereka membuat keputusan untuk mengambil pinjaman peribadi atau kad kredit sebgai bantuan kewangan mereka.

Susah beli rumah
Apabila sudah berkahwin, satu keperluan hidup yang anda perlu ada adalah tempat berteduh seperti rumah. Anda mungkin boleh dapatkan tempat berteduh dengan hanya menyewa. Namun, institusi kekeluargaan yang semakin membesar dengan kehadiran ahli baru menyebabkan anda mungkin terpaksa memiliki rumah sendiri.

Bayaran ansuran pinjaman peribadi adalah satu komitmen yang menyukarkan anda mendapatkan pinjaman perumahan dari pihak bank melainkan anda mempunyai gaji yang tinggi. Semakin tinggi komitmen anda seperti pinjaman peribadi, pinjaman kereta dan hutang kad kredit, semakin sukar anda mendapatkan pinjaman perumahan.

Kenapa anda perlu dapatkan pinjaman perumahan dahulu? Supaya anda mempunyai aset dan juga tempat berteduh. Seperti yang kita tahu, kadar sewa yang anda perlu bayar selalunya melebihi dari bayaran ansuran kepada pihak bank. Oleh itu, lebih baik jika anda mendapatkan rumah sendiri kerana setiap bayaran yang anda buat adalah untuk aset anda sendiri.

Tiada pelaburan
Apabila tidak mampu untuk membuat simpanan setiap bulan, anda mungkin lebih sukar untuk membuat pelaburan. Dalam konsep kewangan yang baik, sebelum anda membuat sebarang pelaburan, pastikan anda mempunyai simpanan yang secukupnya.

Kenapa?Seperti yang kita semua tahu bahawa dalam setiap pelaburan mempunyai risiko yang perlu kita hadapi. Dalam pelaburan yang berlandaskan Shariah contohnya, tiada jaminan dalam setiap pelaburan. Oleh itu, anda pelru menyediakan simpanan yang secukupnya sebagai 'back up' jika sesuatu berlaku terhadap pelaburan anda.

Tahukah anda?
Ramai orang masuk skim cepat kaya dengan menggunakan pinjaman peribadi kerana mereka sebenarnya mempunyai masalah kewangan dan mahu jalan penyelesaian yang cepat.

Tiada 'honeymoon'
Jika anda mahu pergi 'honeymoon' atau bercuti dengan pasangan anda selepas majlis perkahwinan tersebut, anda sekali lagi memerlukan kos yang tinggi walaupun sekadar bercuti di dalam negara. Ingin ambil pinjaman peribadi sekali lagi? Jangan sesekali menambah hutang untuk tujuan yang tidak memberi manfaat.

Setiap pasangan mengimpikan percutian yang menarik tetapi kos yang perlu mereka tanggung juga sangat mahal. Jika anda tidak mengambil pinjaman peribadi untuk majlis perkahwinan anda, mungkin anda tidak mempunyai masalah untuk pergi bercuti dengan pasangan kerana anda tidak mempunyai sebarang komitmen bulanan dengan pihak bank.

Oleh itu, pastikan anda berhati-hati untuk mengambil pinjaman peribadi sebelum majlis perkahwinan anda. Jika kedaan memaksa, anda mungkin boleh ambil jumlah pinjaman yang anda mampu bayar serta tidak membebankan hidup anda.

1 Comments

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Previous Post Next Post