Takaful : Simpanan, Pelaburan atau Perlindungan?


Sering kali kita dipromosikan dengan satu pelan takaful yang datang bersama faedah simpanan dan juga pelaburan.

Ciri-ciri pelaburan dan simpanan yang didatangkan bersama pelan perlindungan asal bertujuan memberi manfaat tambahan kepada pemegang polisi. Pelan tersebut juga dipanggil pelan 3 dalam 1 iaitu pelan yang mengandungi kad perubatan, pampasan nyawa dan pelaburan.

Melalui jumlah carumah yang dibayar setiap bulan, terdapat bahagian yang akan diasingkan untuk tujuan kad perubatan, pampasan nyawa dan juga pelaburan.

PELABURAN

Sebahagian caruman wang anda akan dimasukkan ke akaun pelaburan berdasarkan pengiraan yang telah ditetapkan. Wang di dalam akaun pelaburan tersebut akan dilaburkan mengikut jenis pelaburan yang kita pilih bergantung kepada risiko dan pulangan.

Kebanyakan perancang kewangan yang menguruskan takaful akan mensyorkan agar pelanggan mengambil dana pelaburan di dalam saham atau ekuiti. Namun, anda sebenarnya boleh memilih jenis dana yang anda ingin ambil.

Keuntungan yang diterima biasanya adalah antara 7% - 9% secara purata bergantung kepada jenis dana.
'Bayar takaful setiap bulan tetapi tidak sakit. Rugi?

Berdasarkan artikel kami di atas, ada yang merasa rugi selepas membuat caruman takaful setiap bulan selama beberapa tahun tetapi tidak mendapat manfaat yang disediakan. Jadi, pelan pelaburan yang ditambah bersama pelan perlindungan asal adalah bertujuan memberi nilai tunai kepada pemegang polisi selepas beberapa tahun membuat pelaburan bersama syarikat takaful.

Adakah jumlah pulangan dijamin pada masa akan datang? 
Tidak. Dalam pelaburan yang berlandaskan shariah, tiada jaminan keuntungan yang akan diterima pada masa akan datang.

Anda perlu berhati-hati apabila terdapat perancang kewangan yang menjanjikan pulangan pada masa akan datang. Selain itu, anda juga perlu faham terdapat kos sampingan lain yang akan mengurangkan nilai tunai anda pada masa akan datang seperti Tabarru' dan Fund Management Charge.


Kos Tabarru' akan meningkat setiap tahun mengikut umur anda yang semakin meningkat. Peningkatan kos ini akan mengurangkan nilai tunai anda pada masa akan datang dan polisi anda juga boleh terbatal jika nilai tunai anda tidak mampu untuk membayar kos Tabarru' ini.

Produk takaful yang mempunyai manfaat pelaburan bukanlah satu bentuk pelaburan yang asli seperti unit trust tetapi hanya sebagai manfaat tambahan kepada produk tersebut.

SIMPANAN 

Simpanan yang sering dimaksudkan oleh perancang kewangan adalah nilai tunai yang anda boleh terima seperti pelaburan diatas. Jadi, ia bukanlah satu bentuk simpanan tetapi lebih kepada pelaburan.

Terdapat juga perancang kewangan yang membandingkan kelebihan simpanan di akaun simpanan dan 'simpanan' di takaful. Pertama sekali, ia adalah satu konsep yang salah apabila anda membuat perbandingan antara simpanan dan takaful kerana fungsi kedua-dua tersebut adalah berbeza. 

Mungkin anda pernah dengar perbandingan seperti di bawah ini.

Contoh : Simpan RM300 selama 5 tahun (RM18,000):

A) Takaful
- Anda akan terima kad perubatan bernilai RM100,000 setahun
- Jika berlaku kematian, waris akan terima pampasan bernilai RM100,000
- Jika berlaku cacat kekal, anda dapat pampasan bernilai RM100,000

B) Akaun simpanan
- Kad perubatan anda hanya bernilai RM18,000
- Jika berlaku kematian, waris hanya terima RM18,000
- Jika berlaku cacat kekal, anda hanya terima RM18,000

Tujuan perbandingan ini adalah untuk melihat perbezaan nilai RM300 yang di simpan di dalam Takaful dan akaun simpanan biasa. Hasilnya, apabila anda simpan RM300 setiap bulan di dalam takaful, anda akan mendapat manfaat yang lebih banyak.

Adakah jika kita mengambil pelan takaful RM300 sebulan seperti diatas, kita masih perlu mempunyai simpanan sendiri setiap bulan? 
Jika jawapannya adalah YA, perbandingan diatas adalah tidak relevan kerana matlamat dua akaun tersebut adalah berbeza.

Tujuan produk takaful ini diwujudkan adalah untuk melindungi pendapatan anda jika berlaku sebarang masalah kesihatan. Pelaburan yang ditawarkan di dalam produk tersebut adalah sebagai manfaat tambahan sahaja dan bukan sebagai satu bentuk pelaburan yang asal.

Jika anda mahu melabur, carilah produk pelaburan seperti unit trust. Manakala untuk tujuan simpanan, anda sendiri boleh buka akaun seperti Tabung Haji dan Amanah Saham Berhad (ASB). *ASB dikategorikan sebagai simpanan walaupun satu bentuk unit trust kerana harga unitnya yang tidak berubah iaitu RM1. 

Bolehkah saya mengambil pelan takaful yang mempunyai pelaburan? 
Boleh. Walaupun caruman anda mungkin akan meningkat sedikit tetapi nilai tunai anda akan meningkatkan lagi jumlah pampasan yang waris anda akan terima jika berlaku kematian.

Dapatkan sebutharga takaful yang sesuai dengan bajet anda dengan kami. ISI BORANG.

Comments

ANDA KONSULTAN KEWANGAN? (ASB, TAKAFUL, UNIT TRUST, DLL)