Contoh pengurusan kewangan untuk mereka yang bergaji RM3,000 sebulan




Dengan gaji RM3,000 sebulan dan tinggal di Lembah Klang, bukanlah satu jumlah yang besar. Tetapi, jika pengurusan kewangan dilakukan dengan baik, tahap kewangan anda mungkin menjadi lebih baik dan boleh hidup lebih selesa.

Pengurusan kewangan yang baik bukan hanya terletak kepada pendapatan yang tinggi tetapi bagaimana wang yang diterima tersebut dibelanjakan.

Kami akan cuba kongsikan contoh pengurusan kewangan yang baik bagi mereka yang bergaji RM3,000 sebulan.

Kereta

Nasihat pertama yang kami boleh berikan untuk mereka yang bergaji RM3,000 adalah cuba elakkan untuk beli kereta secara pinjaman pada peringkat awal terutama kereta yang mahal. Dengan gaji RM3,000 sebulan, anda sebenarnya boleh beli kereta yang mahal seperti Honda Civic, Vios malah mungkin kereta Volkswagen.

Jika pekerjaan anda memerlukan anda menggunakan kereta, cuba cari kereta baru pada harga yang paling murah. Kos pemilikan kereta sebenarnya bukan sahaja pada bayaran ansuran setiap bulan, malah terdapat banyak lagi kos yang terlibat seperti tol, minyak, maintenance, cukai jalan dan insuran.

Jika anda beli kereta dengan ansuran yang tinggi pada peringkat awal, anda akan mengalami kesukaran untuk memiliki rumah dan membuat simpanan.

Waktu terbaik untuk memiliki kereta adalah selepas anda mempunyai rumah pertama, caruman takaful dan simpanan 6 bulan. Pastikan bayaran ansuran pula adalah tidak melebihi 20% dari gaji anda.

Jika gaji anda RM3,000, pastikan bayaran ansuran tidak melebihi RM600. Lagi rendah lagi baik.

Rumah

Dengan gaji RM3,000 sebulan, anda sebenarnya masih mampu memiliki sebuah rumah di Lembah Klang. Anda mampu untuk memiliki rumah yang berharga RM300,000 ke bawah.

Apa yang perlu anda buat adalah jadikan pembelian rumah sebagai matlamat utama dan cuba dapatkan rumah tersebut dalam tempoh setahun. Jika deposit menjadi masalah, cuba dapatkan rumah yang lebih rendah iaitu RM100,000 ke bawah.

Namun, rumah pertama lebih sesuai jika anda jadikannya sebagai pelaburan kerana ia akan membantu meningkatkan pendapatan pasif setiap bulan. Jika anda minat dalam pelaburan hartanah, anda mungkin boleh belajar lebih dalam tentang pelaburan hartanah.

Takaful

Ambil takaful hanya selepas anda memiliki rumah pertama.

Anda boleh jadikan pendapatan pasif melalui sewa rumah tadi sebagai bayaran untuk caruman takaful setiap bulan. Dengan cara ini, anda tidak perlu mengeluarkan atau mengusik gaji anda untuk dapatkan perlindungan nyawa dan pendapatan anda.

Semak dahulu manfaat yang syarikat anda telah beri (jika ada), kemudian hanya ambil beberapa manfaat yang penting untuk anda seperti manfaat kematian, penyakit serius dan lain-lain. Jangan ambil takaful pada kadar yang berlebihan kerana ia akan merugikan dan membebankan anda.

Kadar yang sesuai atau caruman setiap bulan adalah tidak melebihi 10% dari gaji anda. Dengan gaji RM3,000 setiap bulan, pastikan caruman takaful anda tidak melebihi RM300 sebulan. Anda boleh dapatkan quotation takaful tersebut disini.

Anda tidak perlu risau lagi tentang kos perubatan jika berlakunya kemalangan kerana anda sudah mempunyai satu pelan perlindungan pendapatan.

Simpanan 

Simpanan pertama yang anda perlu buat adalah simpanan untuk kecemasan iaitu 3 bulan gaji anda. Dengan gaji RM3,000 sebulan, simpanan kecemasan anda mestilah RM9,000. Simpanan tiga bulan ini wajib anda buat selepas anda mendapat kerja pertama dan cuba kumpul dalam tempoh setahun.

Selepas berjaya memiliki simpanan tersebut, barulah anda fokus kepada pembelian rumah dan caruman takaful.

Anda hanya perlu menjadikan simpanan tersebut kepada 6 bulan gaji selepas berjaya memiliki rumah pertama dan takaful. Simpanan tersebut perlu dijadikan kepada 6 bulan kerana anda sudah memiliki rumah yang mungkin akan melibatkan kos pembaikan yang lebih tinggi.
Pelaburan

Akhir sekali, anda perlu rancang untuk kewangan pada masa hadapan anda sama ada untuk persaraan, dana pendidikan anak-anak atau kecemasan.

Anda boleh melabur di akaun amanah saham dengan modal yang rendah tetapi tetap secara konsisten setiap bulan. Buat simpanan dan pelaburan RM300 setiap bulan secara tetap dan anda akan dapat RM1 juta selepas 30 tahun dan ini adalah dana untuk persaraan anda.


Contoh kewangan

PENDAPATAN:

Gaji : RM3,000

KOMITMEN:

Rumah pertama (pelaburan) : RM0 (Pastikan kadar sewa melebihi bayaran ansuran)

Takaful : RM0 (Gunakan lebihan tunai dari sewa rumah untuk dijadikan caruman setiap bulan)

Pelaburan secara tetap : RM300 setiap bulan (RM3,600 setahun)

Kereta : RM1,000 (RM500 ansuran + RM500 kos lain)

Setiap bulan anda hanya perlu keluarkan kos RM1,300 (RM1,000 + RM300) dan anda masih lagi memiliki lebihan RM1,700 untuk dijadikan sebagai perbelanjaan harian anda dan simpanan lain.

Pada masa yang sama, anda sudah memiliki rumah sebagai satu aset, caruman takaful dan simpanan tetap untuk pelaburan persaraan anda.

Anda juga sudah boleh merancang untuk memiliki rumah kedua untuk digunakan sebagai rumah sendiri. Jadikan pendapatan dari sewa rumah anda sebagai dokumen sokongan untuk memudahkan pinjaman perumahan anda untuk lulus.

19 Comments

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Previous Post Next Post