Persediaan mental yang perlu anda lakukan sebelum berhenti kerja makan gaji.


Pernah tak anda merancang untuk berhenti kerja makan gaji dan mulakan perniagaan anda sendiri?

Mungkin anda terlalu fokus untuk menyediakan dana atau simpanan yang secukupnya sehingga anda terlupa untuk mengasah mental anda.

Anda boleh sediakan simpanan sehingga 6 bulan gaji sebelum berhenti kerja, tetapi jika persediaan mental anda sangat lemah, anda sukar untuk pergi jauh dalam perniagaan.

Kami ingin kongsikan beberapa persediaan mental yang perlu anda lakukan sebelum berhenti kerja makan gaji.


Gagal itu biasa

Semasa anda bekerja makan gaji, tiada istilah gagal kerana setiap bulan pasti anda akan terima gaji.

Tetapi lain pula jika anda sedang berniaga kerana setiap bulan anda mungkin tidak dapat gaji disebabkan tiada jualan yang dibuat. Oleh itu, anda perlu kuatkan mental bahawa gagal itu biasa dan jangan pernah putus asa.

Namun, jika pernah merasa kegagalan, jangan pula anda tidak membuat sebarang perubahan kerana kegagalan tersebut mungkin akan berterusan. Pastikan anda tahu apakah punca kegagalan tersebut dan anda perlu cuba cara terbaik untuk tidak mengulangi kesilapan yang lepas.

Selain itu, anda juga perlu tahu bahawa ramai orang di sekeliling anda tidak akan membantu anda ketika anda gagal. Hanya anda seorang sahaja yang perlu melawan untuk terus konsisten dalam perniagaan.
Fikir jangka masa panjang

Apabila anda ingin memulakan sesuatu perniagaan, pastikan anda mempunyai pelan jangka masa panjang.

Maksudnya disini adalah keuntungan yang anda terima hari ini walaupun sedikit adalah untuk mendapatkan keuntungan yang lebih banyak pada masa hadapan. 

Jangan boros dan gelap mata apabila menerima keuntungan di awal perniagaan kerana anda tidak tahu apa akan terjadi kepada perniagaan anda pada masa hadapan.

Kebanyakan perniagaan yang berjaya kebiasaanya membina sistem yang baik di awal usia perniagaan kerana mereka percaya sistem yang baik memudahkan perniagaan mereka berkembang pada masa hadapan.
Jangan dengar cakap orang

Jangan sesekali anda dengar nasihat dari orang ramai tetapi dengarlah nasihat dari mereka yang berpengalaman dalam bidang yang mereka ceburi.

Apabila anda mendengar nasihat dari orang ramai yang tidak mempunyai pengalaman, anda mungkin mendengar nasihat yang membuatkan anda kecewa dan berhenti dari berniaga.

Tidak semua orang faham tentang perjalanan sesuatu perniagaan terutama bagi mereka yang tidak mempunyai pengalaman dalam perniagaan. Anda juga mungkin terpaksa terima pelbagai kritikan atau kata-kata perli dari orang sekeliling dan juga mungkin dari rakan anda sendiri.

Fokus kepada apa yang anda telah rancang dan jangan biarkan orang sekeliling menghalang anda dari terus bertindak.
Tolong orang ramai

Selain membuat jualan, anda juga sebenarnya mempunyai tugas lain yang lebih berat iaitu menolong orang ramai.

Maksudnya di sini adalah anda sebenarnya boleh memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan. Jika perniagaan anda berkembang, ini bermakna anda memerlukan staff untuk membantu anda menguruskan perniagaan anda. 

Selain itu, melalui keuntungan yang anda terima juga anda boleh membuat kebaikan kepada orang awam dengan sedekah dan derma. Orang kaya biasanya mempunyai tabiat sedekah yang sangat tinggi kerana mereka percaya bahawa sedekah mampu mengembangkan perniagaan mereka.

Anda tidak perlu menunggu jadi kaya untuk mula bersedekah.
Motivasi diri sendiri

Turun naik dalam perniagaan adalah sesuatu yang normal terutama ketika masih di peringkat awal.

Jika anda sedang rasa moral anda di tahap yang rendah, anda adalah orang yang bertanggungjawab untuk menaikkan semula semangat dan motivasi anda. Anda perlu sentiasa berfikiran positif setiap masa dan sentiasa cuba selesaikan sebarang masalah.

Apa yang anda fikirkan akan menentukan apa yang akan anda lakukan. Pastikan diri anda sentiasa dikelilingi dengan orang yang positif terutama dari mereka yang menjalankan perniagaan. 

Jika anda masih rasa kurang yakin, pergi berjumpa dengan mereka yang berjaya untuk mendapatkan tip dan nasihat yang baik.

Anda juga perlu faham proses dalam perniagaan sebenar tidak sama seperti apa yang anda rancang atas kertas.


Comments

ANDA KONSULTAN KEWANGAN? (ASB, TAKAFUL, UNIT TRUST, DLL)