Sering digelar kedekut di tempat kerja. Ini sebab utama anda perlu terus berjimat.




Apabila anda hidup terlalu berjimat cermat, anda mungkin pernah digelar kedekut oleh rakan anda. Bawa bekal makanan dari rumah, tidak keluar untuk menonton wayang, tidak beli kereta yang mahal dan banyak lagi perkara yang menyebabkan anda akan di gelar kedekut.

Namun, ini adalah sebahagian daripada proses untuk mengumpul dan menambah wang simpanan anda. Apa yang anda perlu lakukan adalah terus berjimat sehingga anda mencapai matlamat dalam kewangan.

Mungkin orang ramai masih tidak faham kenapa kita perlu berjimat walaupun sudah mempunyai gaji yang besar.

Kami kongsikan beberapa sebab kenapa anda perlu berjimat terutama ketika di usia muda.


Komitmen masih rendah di usia muda.

Kehidupan ketika masih muda adalah waktu paling senang untuk anda membuat simpanan yang banyak. Anda masih lagi tiada komitmen yang tinggi seperti kos penjagaan anak-anak yang ramai dan juga kos pendidikan anak-anak yang semakin meningkat.

Jika anda mahu mula menyimpan ketika anda sudah tua, matlamat kewangan anda semaki sukar untuk di capai kerana anda sudah terbeban dengan komitmen dan tanggungjawab yang tinggi. Oleh sebab itu, ketika usia muda ini jangan terlibat dengan sebarang hutang yang membuatkan hidup anda merana pada masa akan datang.
Dana kecemasan

Ketika orang lain menghabiskan gaji mereka dengan barangan yang mahal dan moden, anda pula perlu menyimpan sebahagian gaji anda sebagai dana kecemasan. Dana kecemasan tersebut akan digunakan ketika berlakunya sebarang kecemasan.

Sebagai contoh, jika berlakunya kerosakan terhadap kereta atau telefon bimbit, anda tidak perlu risau kerana sudah mempunyai simpanan kecemasan tersebut. Masalah akan mula timbul apabila anda tidak mempunyai wang untuk membaiki kerosakan tersebut dan anda terpaksa membuat hutang seperti kad kredit atau pinjaman peribadi.

Dengan simpanan sehingga tiga bulan, asingkan wang simpanan tersebut ke satu akaun yang tidak bercampur dengan akaun perbelanjaan harian anda. Pada masa yang sama, jika anda mempunyai hajat untuk membeli kereta, pastikan anda buat kira-kira dahulu segala kos yang tersembunyi seperti maintenance, cukai jalan dan insuran supaya anda tidak terbeban selepas menggunakan kereta tersebut.
Mulakan pelaburan

Mungkin anda akan rasa sedikit janggal apabila terpaksa beli rumah di usia muda dan bukannya beli kereta. Pengaruh rakan sekerja atau ahli keluarga memainkan peranan yang sangat besar dalam hidup anda. Jika lihat disekeliling anda, kebanyakannya dari mereka akan bermula dengan membeli kereta terlebih dahulu berbanding rumah.

Satu perkara yang anda perlu tahu adalah nilai sebuah rumah akan terus meningkat setiap tahun manakala nilai sebuah kereta pula akan menurun setiap tahun. Semakin lama anda tunggu untuk beli rumah, semakin sukar anda dapatkan rumah pada harga yang murah.

Simpanan yang banyak terhasil dari hidup berjimat cermat itu boleh dijadikan sebagai deposit pelaburan rumah pertama anda.

Masa depan yang lebih cerah

Pengurusan kewangan yang baik dapat mengelakkan anda dari menghadapi masalah kewangan seperti hutang yang lebih banyak dari gaji anda. Ini sering terjadi kepada anak muda hari ini dan kesannya apabila ramai di antara mereka sudah bergelar muflis selepas tidak mampu membayar hutang semula kepada pihak bank.

Selain itu, dengan dana simpanan yang banyak, anda sebenarnya mempunyai banyak pilihan untuk membuat perniagaan sendiri atau pelaburan. Berbanding mereka yang tidak mempunyai simpanan, membeli rumah adalah satu perkara yang amat sukar dilakukan kerana masalah penyediaan deposit.


Elak skim cepat kaya

Bagi mereka yang suka menambah simpanan mereka setiap bulan, mereka lebih berhati-hati dari terlibat dengan skim cepat kaya. Mereka lebih menghargai wang simpanan yang dikumpul hasil penat lelah sebelum ini.

Berbanding mereka yang tidak mempunyai simpanan, mereka lebih cenderung untuk menyertai skim cepat kaya kerana ingin mendapat keuntungan dengan cepat. Selain itu, kurang ilmu kewangan serta pengurusan kewangan yang kurang baik juga menjadi punca utama mereka menyertai skim cepat kaya tersebut.
Previous Post Next Post