Antara sebab kenapa menyewa lebih baik dari beli rumah sendiri.



Bukan semua orang berkemampuan untuk memiliki rumah pada usia yang sangat muda.
Oleh itu, menyewa adalah satu jalan terbaik yang mereka ada sebagai tempat berlindung.

Bagi mereka yang berkemampuan pula, tidak semestinya menyewa adalah satu keputusan yang kurang bijak. Terdapat beberapa keadaan dimana menyewa dapat dilihat sebagai satu keputusan yang baik berbanding membeli rumah sendiri.

Kami ingin kongsikan beberapa faktor yang perlu anda lihat sebelum membuat keputusan untuk menyewa atau beli rumah.


Bayaran sewa lebih murah dari bayaran kepada bank

Jika anda lebih minat dan cenderung untuk menetap di rumah teres berbanding rumah apartment atau flat, anda mungkin perasan yang bayaran bulanan rumah teres lebih mahal berbanding menyewa.

Kebanyakan rumah teres di kawasan bandar adalah rumah yang telah siap beberapa tahun dahulu ketika harganya masih murah. Oleh itu, tuan rumah tidak mempunyai masalah untuk memberi kadar sewa yang rendah.

Untuk rumah teres yang berharga RM500,000, anda mungkin akan membuat bayaran kepada pihak bank sebanyak RM2,500. Tetapi, dengan menyewa anda hanya perlu bayar antara RM1,500 hingga RM2,000.

Kes di atas menunjukkan bahawa menyewa lebih murah berbanding membeli rumah. Namun perlu diingat bahawa jika anda menyewa, anda terpaksa membayar rumah orang lain. Manakala jika anda bayar kepada pihak bank walaupun sedikit mahal, anda sebenarnya bayar untuk aset anda sendiri.




Anda sudah mempunyai banyak rumah sewa

Antara sebab kenapa ramai yang tidak memiliki rumah sendiri adalah kerana mereka ingin beli rumah untuk tujuan pelaburan terlebih dahulu. Ketika anda masih dalam proses membeli rumah untuk pelaburan, anda mungkin terpaksa menyewa terlebih dahulu.

Jika anda sudah mempunyai banyak rumah sewa, jadi anda tidak perlu risau tentang rumah untuk duduk sendiri. Apabila sampai waktunya, anda sendiri boleh pilih untuk duduk rumah yang anda sewakan itu.

Selain itu, jika anda mempunyai lebihan tunai dari pendapatan rumah sewa, anda boleh gunakan wang tersebut untuk bayaran sewa rumah yang anda duduk sendiri. Ini bermakna, anda tidak perlu mengeluarkan duit dari gaji anda untuk bayar sewa tetapi anda hanya menggunakan lebihan dari sewa sahaja.




Suka berpindah tempat kerja

Anda mungkin masih belum pasti pekerjaan yang anda mahu bekerja untuk tempoh yang lebih lama. Kebanyakan orang muda juga lebih suka untuk melompat kerja setiap dua atau tiga tahun.

Apabila ini berlaku, anda mungkin terpaksa untuk berpindah tempat kerja yang lebih jauh dari tempat tinggal anda. Oleh itu, jika anda memang seorang yang suka berpindah tempat kerja, terutama ke tempat yang lebih jauh, anda mungkin boleh menyewa sahaja.

Selain itu, orang muda juga masih belum lagi memikirkan tempat yang sesuai untuk mereka tinggal pada waktu persaraan nanti. Sesetengah dari kita lebih suka tinggal di kampung manakala sebahagian lagi lebih selesa tinggal di bandar.

Apabila anda masih lagi dalam keadaan seperti ini, mungkin lebih baik untuk menyewa berbanding beli rumah.



Anda sudah mempunyai rancangan kewangan sendiri

Memiliki rumah sendiri bukan sekadar untuk menetap sahaja tetapi anda akan dapat satu aset yang semakin tinggi nilainya. Nilai aset tersebut akan membantu anda ketika anda bersara nanti.

Walaubagaimanapun, jika anda sudah mempunyai perancangan kewangan anda sendiri, anda mungkin boleh menyewa sahaja. Anda tidak perlu memiliki rumah sendiri jika anda sendiri sudah aktif dengan pelbagai jenis pelaburan atau perniagaan yang boleh dijadikan sebagai pelan persaraan anda.

Dalam keadaan ini, anda tidak mempunyai masalah untuk memiliki rumah pada bila-bila masa sahaja walaupun harga rumah meningkat dengan banyak sekali.

Previous Post Next Post